LUMUT, 3 JULAI– Kapal tempur pesisir kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah secara rasmi dinamakan sebagai Raja Muda Nala dalam satu upacara penuh istiadat di Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS), Pangkalan TLDM Lumut.
Upacara penamaan dan pelancaran tersebut disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Royal Sponsor, yang turut berangkat bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Nama Raja Muda Nala dipilih sebagai simbol keazaman, keberanian dan semangat juang tokoh tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negeri Selangor.

Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyaksikan replika Kapal LCS Raja Muda Nala FOTO:Airtimes/Zulhaizi
Penamaan ini mencerminkan kesinambungan warisan kepahlawanan diraja yang terus diangkat dalam usaha memperkukuh pertahanan maritim negara.
Raja Muda Nala merupakan kapal kedua dalam kelas Second Generation Patrol Vessel berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS), dan merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd.
Ia melambangkan kejayaan sektor industri pertahanan nasional dalam membina keupayaan strategik negara secara kendiri, projek ini juga adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang TLDM untuk memperkukuh kesiagaan armada melalui pemilikan aset berteknologi tinggi yang mampu melaksanakan pelbagai operasi maritim.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan mengambil gambar di hadapan kapal Raja Muda Nala bersama Panglima tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) FOTO: Airtimes/Zulhaizi
Aset ini direka untuk menghadapi ancaman pelbagai dimensi dan memperkukuh kehadiran strategik di perairan negara dan pelancaran Raja Muda Nala turut menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam pelaksanaan projek nasional di bawah Kementerian Pertahanan.
Ia sekaligus menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan pertahanan negara terus diperkasa melalui gabungan kepakaran tempatan dan sokongan berterusan kepada industri berat tempatan.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato Sri Muhamad Norazlan Aris, bersama delegasi kanan Kementerian Pertahanan serta wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM). -airtimes.my
#Airtimes #LCS #TLDM #Lunas #RajaMudaNala #ATM #Lumut #Malaysia