Keupayaan dalam melindungi keselamatan sesebuah negara tidak hanya digalas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Walaupun ATM menjadi tunjang utama pertahanan dari ancaman luar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berperanan sebagai institusi penting dalam memastikan keselamatan awam terpelihara.
Dalam konteks lebih luas, pengoperasian PDRM kini merentasi darat, laut dan udara bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin kompleks. Dalam era keselamatan moden, ruang udara menjadi sebahagian penting daripada ekosistem penguatkuasaan negara.
Ancaman seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan penggunaan dron memerlukan tindak balas yang lebih pantas serta keupayaan pemantauan yang meluas. Kehadiran Pasukan Gerakan Udara (PGU) memenuhi keperluan taktikal itu, sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan kontemporari.
Permulaan penubuhan PGU

PGU mula ditubuhkan pada 1 Februari 1979 dan dilancarkan oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Allahyarham Tun Dato’ Seri Diraja Mohammed Hanif Omar. Secara tidak langsung, pelancaran ini membuka lembaran baharu kepada PDRM untuk mula memperluas fungsi penguatkuasaannya ke ruang udara. Bagaimanapun, pada permulaan PGU memiliki aset yang agak terhad serta skop penugasan yang kecil.
Pada peringkat awal, unit udara menerima dua pesawat Cessna 206 yang diserahkan oleh Pengarah urusan Heli Orient, Briant Woodford. Setiap pesawat dianggarkan bernilai sekitar USD300,000, termasuk kelengkapan. Pesawat ringan itu digunakan bagi tugasan rondaan perairan, pemantauan kawasan pantai dan sokongan operasi asas.
Pelancaran tersebut turut menyaksikan penyerahan sayap penerbangan kepada empat inspektor yang menamatkan latihan di Kelab Penerbangan Diraja Selangor. Ketika itu enam pegawai PDRM sedang mengikuti latihan lanjut, termasuk latihan di luar negara seperti Filipina.
Unit udara pada awalnya berperanan membantu membanteras penyeludupan, menangani rompakan laut, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyokong tugas Cawangan Jenayah. Selain itu, keupayaannya menjejak suspek melarikan diri yang menggunakan kenderaan serta memantau kekacauan awam menjadi antara fungsi penting dalam operasi polis ketika itu.
Pengoperasian rasmi dikatakan dijadual bermula pada awal 1980 dan ia menandakan transformasi besar kepada PDRM yang mula menggunakan aset udara secara lebih sistematik.
Transformasi keupayaan dalam operasi moden

Peranan PGU berkembang selaras keperluan keselamatan negara yang semakin mencabar. Dari pesawat ringan, unit ini beralih kepada aset lebih moden termasuk helikopter AW139 yang kini menjadi elemen utama operasi udara PDRM.
Aset ini membolehkan rondaan jarak jauh dan menyediakan liputan udara yang lebih menyeluruh dalam pelbagai misi. Sistem penderiaan elektro-optik yang digunakan pada platform moden, membolehkan kru melakukan pemerhatian dari jarak selamat. Keupayaan ini juga mengurangkan risiko kepada anggota.
Pada masa sama, meningkatkan ketepatan maklumat yang diterima komander operasi. Ia turut menyokong operasi seperti pencarian dan menyelamat, bantuan kecemasan, rondaan bandar serta penyusupan taktikal ke kawasan yang suka dicapai melalui jalan darat.
Dalam pada itu, ia berupaya menurunkan anggota ke kawasan terpencil dengan pantas, menjadikan PGU sebagai pengganda keupayaan dalam operasi darat. Maklumat situasi yang diperoleh dari ketinggian pula membantu proses membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat.
Dominasi Udara dalam menangani jenayah rentas sempadan

Malaysia berdepan cabaran besar melibatkan jenayah rentas sempadan. Laluan masuk haram dan aktiviti penyeludupan menggunakan bot kecil memerlukan pemantauan berterusan yang sukar dilakukan sepenuhnya melalui darat atau laut sahaja.
Dalam konteks ini, PGU mempunyai kelebihan kerana keupayaan liputan udara yang luas dan mobiliti tinggi. Helikopter PGU mampu mengesan pergerakan mencurigakan di sempadan, termasuk bot yang cuba menyelinap masuk melalui kawasan berpaya atau pesisir terpencil.
Sudut pandangan udara membolehkan kru mengenal pasti pola pergerakan luar biasa yang tidak dapat dilihat dari permukaan. Dalam banyak operasi, elemen udara menjadi faktor kritikal yang membawa kepada penahanan sindiket penyeludupan atau pencerobohan.
Keupayaan PGU dalam kerangka Pertahanan Menyeluruh

Dalam konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), setiap aset dan agensi keselamatan negara saling melengkapi. PGU memainkan peranan penting dengan memberikan maklumat awal kepada ATM, APMM dan agensi keselamatan lain ketika berlaku krisis atau bencana besar. Keupayaannya juga meliputi pemantauan, penyaluran maklumat masa nyata dan sokongan misi udara kepada operasi darat.
Kecekapan PGU mempercepatkan respons negara dalam menghadapi kecemasan serta memastikan keselamatan awam dijaga secara menyeluruh. Melalui mobiliti tinggi dan keupayaan pengawasan jarak jauh, unit ini menjadi komponen strategik dalam melindungi kepentingan nasional.
PGU membuktikan bahawa kemampuan udara adalah sebahagian penting dalam ekosistem keselamatan moden. Dari dua pesawat Cessna 206 pada tahun 1979, unit ini kini berkembang menjadi aset udara polis yang berkeupayaan tinggi dan berperanan strategik.
Evolusi PGU sedikit sebanyak mencerminkan perkembangan keperluan keselamatan negara serta komitmen PDRM dalam melindungi rakyat. Dalam landskap ancaman yang semakin kompleks, kehadiran PGU menjaminkan keselamatan dan memastikan ruang udara Malaysia agar sentiasa terpelihara. -airtimes.my
#Airtimes #PGU #PasukanGerakanUdara #PDRM #Keselamatan #Pertahanan #Malaysia
