Home DiskusiGlobal: Proliferasi senjata dan ancaman nuklear di era moden

Global: Proliferasi senjata dan ancaman nuklear di era moden

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Dalam landskap keselamatan antarabangsa hari ini, kebimbangan terhadap penggunaan senjata nuklear kembali menjadi isu utama. Dunia yang pernah bernafas lega selepas Perang Dingin kini kembali dihantui ketidaktentuan geopolitik dan perlumbaan persenjataan baharu.

Fenomena ini tidak lagi tertumpu kepada kuasa besar semata-mata, tetapi turut melibatkan negara baharu yang muncul sebagai pemain strategik dalam bidang ketenteraan.

Dunia di ambang ketidaktentuan baharu

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, dunia menyaksikan penurunan dramatik dalam jumlah senjata nuklear global. Namun, momentum itu tidak kekal lama.

Konflik di Ukraine, ketegangan di Semenanjung Korea dan persaingan antara Amerika Syarikat serta China telah menghidupkan semula semangat perlumbaan nuklear yang dianggap sudah berakhir.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), terdapat peningkatan semula jumlah kepala peledak nuklear yang diletakkan dalam keadaan siap tempur.

SIPRI telah menganggarkan terdapat 12,241 hulu ledak nuklear di dunia pada Januari 2025, sekitar 9,614 daripadanya berada dalam stok simpanan tentera serta 2,100 diletakkan pada tahap siap siaga tinggi di peluru berpandu balistik.

Walaupun Rusia dan Amerika Syarikat masih menguasai hampir 90 peratus stok nuklear dunia, namun kemunculan China sebagai kuasa ketiga terbesar kini mengubah imbangan kuasa global.

China dijangka memiliki lebih 1,000 kepala peledak menjelang 2030, satu angka yang menunjukkan perubahan strategik besar dalam dasar pertahanannya. Sementara itu, Korea Utara terus memperkukuh ujian balistik dan nuklear bagi menegaskan statusnya sebagai kuasa besar nuklear di rantau Asia Timur.

Proliferasi senjata di dunia membangun

Apa yang lebih membimbangkan ialah penyebaran teknologi senjata pemusnah besar-besaran kepada negara membangun. Walaupun Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) masih berkuat kuasa, keberkesanannya semakin dipersoalkan.

Negara seperti Iran, Pakistan dan India menunjukkan bahawa tekanan antarabangsa tidak lagi menjadi penghalang mutlak kepada pembangunan senjata nuklear.

Iran, misalnya, mengekalkan kemampuan memperkayakan uranium walaupun perjanjian nuklear 2015 (JCPOA) terbatal. Sementara itu, Pakistan dan India terus memperluas keupayaan misil jarak jauh mereka, termasuk sistem peluru berpandu berkeupayaan nuklear yang boleh mencapai sasaran di luar wilayah serantau.

Peluru berpandu antara benua DF-5C milik China dipamerkan semasa perarakan ketenteraan sebagai lambang peningkatan keupayaan strategik nuklear negara itu. Foto Hiasan

Dalam konteks ini, Asia Selatan kekal sebagai kawasan berisiko tinggi kepada potensi penggunaan senjata nuklear.

Lebih membimbangkan, perkembangan teknologi dual-use seperti reaktor mini dan sistem pelancaran mudah alih kini mempercepatkan risiko proliferasi. Negara tanpa keupayaan industri besar boleh memperoleh teknologi sensitif melalui pasaran gelap atau kerjasama saintifik yang disalah guna.

Ancaman baharu dalam bentuk lama

Konsep ancaman nuklear tidak lagi hanya mengenai serangan besar-besaran antara negara kuasa besar. Hari ini, dunia bakal berdepan dengan ancaman yang lebih kompleks.

Di mana, risiko serangan siber terhadap sistem kawalan nuklear, sabotaj terhadap loji tenaga, atau pemindahan bahan radioaktif kepada kumpulan bukan negara menjadi dimensi baharu dalam ancaman global.

Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), lebih 100 insiden penyeludupan bahan radioaktif dikesan setiap tahun di seluruh dunia. Walaupun sebahagian besar kes melibatkan jumlah kecil bahan industri, potensi penggunaannya untuk menghasilkan “bom kotor” tetap membimbangkan.

Dalam tangan kumpulan pengganas, senjata sebegini mampu mencetuskan panik dan kerosakan ekonomi yang besar walaupun tanpa letupan berskala nuklear.

Kegagalan diplomasi dan kepentingan strategik

Usaha diplomatik antarabangsa untuk mengekang penyebaran senjata nuklear semakin lemah. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerap buntu akibat percanggahan kepentingan antara kuasa veto.

Amerika Syarikat dan sekutunya menuduh Rusia serta China menghalang penguatkuasaan sekatan, manakala Moscow pula menuduh Washington bersikap hipokrit dengan terus memperkukuh arsenal sendiri.

Sementara itu, negara bukan nuklear berasa tertindas dengan dasar dua darjat dalam NPT. Mereka diminta menahan diri daripada membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, tetapi kuasa besar pula gagal melaksanakan komitmen pelucutan senjata yang sebenar. Keadaan ini menyebabkan semakin banyak negara mempertimbangkan keperluan memiliki deterrent sendiri bagi menjamin kedaulatan.

Contohnya, Jepun dan Korea Selatan kini memperkukuh program pertahanan peluru berpandu masing-masing. Walaupun kedua-duanya kekal di bawah payung nuklear Amerika Syarikat, tekanan terhadap dasar domestik untuk memiliki keupayaan nuklear sendiri semakin meningkat.

Era baharu teknologi nuklear

Dunia kini memasuki fasa di mana kemajuan teknologi mempercepatkan pembangunan senjata. Revolusi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), automasi dan pembuatan bahan canggih (advanced materials) menjadikan proses pembangunan sistem senjata lebih murah dan efisien.

Hal ini termasuk pembangunan peluru berpandu hipersonik yang berpotensi membawa peledak nuklear dengan kelajuan lima kali ganda bunyi.

Peluru berpandu supersonik yang berkeupayaan membawa hulu peledak nuklear mencerminkan kemajuan teknologi ketenteraan moden pada kelajuan tinggi. Foto Hiasan

Teknologi nuklear kecil seperti small modular reactors (SMR) juga membuka ruang kepada penggunaan tenaga nuklear dalam pelbagai sektor. Namun, risiko penyalahgunaan teknologi ini untuk tujuan ketenteraan kekal tinggi.

Negara yang tidak menandatangani perjanjian kawalan ketat boleh mengalihkan teknologi tenaga kepada program ketenteraan tanpa pengawasan antarabangsa yang mencukupi.

Selain itu, perkembangan kejuruteraan bahan letupan dan kemajuan dalam sistem panduan peluru berpandu menjadikan dunia lebih sukar dikawal oleh perjanjian sedia ada. Dalam senario ini, penguatkuasaan antarabangsa sering tertinggal di belakang inovasi teknologi.

Implikasi terhadap keamanan global

Proliferasi senjata dan kebangkitan ancaman nuklear semula menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan keselamatan dunia. Dalam era globalisasi, kesilapan satu negara boleh mencetuskan kesan domino terhadap seluruh rantau.

Keamanan bukan lagi ditentukan oleh keseimbangan kuasa semata-mata, tetapi juga oleh keupayaan diplomasi dan tanggungjawab moral pemimpin dunia.

Nuklear, pada hakikatnya, bukan sekadar senjata pemusnah. Ia menjadi satu simbol kekuasa, kedaulatan dan pengaruh politik dunia. Namun, apabila semakin banyak negara memiliki teknologi ini tanpa kawalan berkesan, dunia berdepan risiko kehilangan kestabilan yang pernah dikecapi selepas Perang Dingin.

Kesan kepada Malaysia

Dalam konteks rantau Asia Tenggara pula, Malaysia kekal teguh dengan dasar bebas nuklear. Negara ini berada dalam Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) berasaskan Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 1995. Malaysia turut meratifikasi Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW) sebagai komitmen moral dan normatif terhadap keamanan sejagat.

Pendekatan ini mencerminkan prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menuntut daya tahan seluruh ekosistem negara, termasuk aspek keselamatan tenaga, teknologi dan radiologi.

Ledakan ujian nuklear menghasilkan awan berbentuk cendawan yang melambangkan kuasa pemusnah paling dahsyat dalam sejarah peperangan moden. Foto Hiasan

Keutuhan norma serantau yang telah dibina selama hampir tiga dekad perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan nyata di lapangan, khususnya di pelabuhan, lapangan terbang serta industri radiologi.

Kerjasama ASEAN dalam mendapatkan jaminan kuasa nuklear terhadap protokol zon bebas juga perlu diteruskan secara konsisten. Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan Asia Tenggara sebagai kawasan aman tanpa senjata pemusnah besar-besaran, tetapi turut memperkukuh kedudukan strategik Malaysia sebagai negara yang berpegang teguh kepada prinsip keselamatan kolektif dan diplomasi keamanan.

Keamanan di hujung rundingan

Dunia kini berada di persimpangan kritikal antara kemajuan teknologi dan kebijaksanaan manusia. Pilihan yang diambil oleh kuasa besar hari ini akan menentukan sama ada abad ke-21 menjadi zaman keamanan nuklear atau zaman kehancuran baharu.

Diplomasi harus diberi nafas baharu. Rundingan pelucutan senjata mesti dikembalikan kepada landasan realistik yang melibatkan semua pihak, bukan hanya kuasa tradisional. Selagi senjata nuklear terus dijadikan simbol status, keamanan sejagat akan kekal sebagai ideal yang jauh dari realiti.-airtimes.my

#AirTimesNews #Diskusi #Nuklear #ProliferasiSenjata #DiplomasiPertahanan #PertahananMenyeluruh #KeselamatanSerantau

Related Articles

Leave a Reply