Home DiskusiMenghayati erti kemerdekaan Malaysia: Bukan sekadar sejarah, tetapi amanah bangsa

Menghayati erti kemerdekaan Malaysia: Bukan sekadar sejarah, tetapi amanah bangsa

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Kedaulatan dan keamanan sesebuah negara bukan sahaja lahir daripada keberanian seorang wira yang mengangkat senjata di medan tempur. Sebaliknya, ia berasaskan daripada kekuatan jiwa dan semangat rakyat yang tidak pernah luntur dalam menentang penjajahan yang merampas hak, menggugat kuasa serta menjatuhkan maruah bangsa.

Perjuangan menuntut kemerdekaan bukan sekadar tindakan melulu yang didorong emosi semata-mata, tetapi lambang solidariti yang menyatukan seluruh anak watan dalam menegakkan kebebasan. Ia mencerminkan jati diri bangsa Melayu yang tidak rela ditindas, atau diperlekehkan.

Sejarah membuktikan bahawa darah dan air mata menjadi saksi kepada setiap inci kemerdekaan yang kita kecapi hari ini. Antara detik penting dalam lipatan sejarah negara ialah pengisytiharan darurat pada 16 Jun 1948 akibat ancaman pengganas komunis. Ribuan nyawa terkorban, harta benda musnah dan rakyat menderita sepanjang tempoh tersebut. Setelah lebih sedekad bergelut, darurat akhirnya ditamatkan pada 31 Julai 1960.

Tarikh 31 Julai kemudiannya diabadikan sebagai ‘Hari Pahlawan’, simbol pengiktirafan kepada wira-wira negara yang sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air. Nilai perjuangan ini bukan kecil, kerana ia bukan sekadar tentang keberanian di medan pertempuran, tetapi juga kekuatan menundukkan rasa takut dan kesanggupan menentang ancaman demi memastikan rakyat terus hidup dalam aman dan selamat.

Anggota keselamatan pula menjadi benteng pertahanan negara dalam berdepan pelbagai ancaman. Dari darurat menentang komunis, Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963-1966, peristiwa Bukit Kepong, insiden berdarah Lahad Datu pada 2013, sehinggalah krisis sempadan di utara tanah air. Semua ini membuktikan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung pada sistem politik, tetapi juga terletak pada kesetiaan serta pngorbanan rakyatnya.

Penjajahan dan kebangkitan nasionalisme

Sebelum mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu melalui fasa penjajahan berpanjangan. Sejak kejatuhan Melaka pada 1511, tanah ini silih berganti dijajah oleh Portugis, Belanda (1641) dan British pada abad ke-19. Campur tangan asing dalam pentadbiran, pelaksanaan sistem Residen serta pelbagai perjanjian yang menghakis kuasa raja-raja Melayu jelas memperlihatkan niat penjajah untuk menguasai tanah, ekonomi dan dan minda rakyat.

Namun, penindasan inilah yang turut membangkitkan kesedaran politik, agama dan kebangsaan dalam kalangan rakyat. Dari sinilah lahir benih nasionalisme yang memupuk keberanian untuk memupuk keberanian dalam menuntut kembali hak dan kedaulatan.

Diplomasi, perpaduan dan ke arah kemerdekaan

Tidak seperti sesetengah negara lain yang mencapai kebebasan melalui peperangan atau revolusi bersenjata, Tanah Melayu memilih jalan rundingan dan diplomasi yang menuntut kesabaran, strategi serta kebijaksanaan.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bersama pemimpin pelbagai kaum, berangkat ke London untuk berunding dengan kerajaan British. Hasil usaha itu, pada 31 Ogos 1957, Stadium Merdeka, menjadi saksi kepada kelahiran sebuah negara berdaulat. Laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema, sebagai tanda  bermulanya era kebebasan rakyat daripada belenggu penjajahan.

Simbol keberanian dan semangat kebangsaan

Perjuangan memerdekakan tanah air turut disemarakkan oleh keberanian tokoh-tokoh Melayu, antaranya seperti Tok Janggut, Dol Said, Datuk Bahaman dan Datuk Maharajalela. Mereka bukan sekadar wira yang lantang menentang, tetapi simbol keberanian dan semangat juang orang Melayu, walaupun tanpa menggunakan senjata moden.

Selain tokoh pejuang, golongan intelektual, penulis dan agamawan turut beperanan besar dalam menyemarakkan kesedaran nasionalisme. Pena, wacana, penerbitan akhbar, penubuhan pertubuhan kebangsaan dan ceramah menjadi senjata utama membangkitkan semangat rakyat untuk mempertahankan maruah bangsa dan menolak penjajahan.

Pengorbanan merentas kaum

Perpaduan yang terbina bukan sekadar menghayati dan mengenang sejarah, tetapi juga bersatu hati dan menyemai erti kemerdekaan dalam diri. Foto Hiasan

Perjuangan kemerdekaan tidak hanya digalas oleh bangsa Melayu, sebaliknya turut diperkuat oleh sokongan kaum India, Cina dan etnik lain. Semangat perpaduan inilah menjadi tunjang utama, membuktikan bahawa kecintaan terhadap tanah air mampu merentas batas agama, kaum dan budaya.

Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukanlah satu pencapaian yang mudah. Ia dibayar dengan harga yang amat tinggi hingga perlu menggadaikan nyawa, maruah dan pengorbanan yang tidak terhitung. Warisan ini perlu dihargai, dihayati dan dipelihara oleh generasi kini agar  kita tidak leka atau alpa terhadap nilai sebenar kemerdekaan.

Menghayati erti sebenar kemerdekaan bukan hanya pada tarikh 31 Ogos, tetapi ia harus diterjemahkan dengan usaha mempertahankan kedaulatan, mengekalkan semangat bersatu padu dan memelihara keharmonian yang diwariskan. Justeru, generasi muda wajar menjiwai semangat perjuangan ini, bukan sahaja dengan mengenang sejarah, tetapi juga dengan mengukuhkan nilai patriotisme dalam diri.

Hari ini, setelah lebih enam dekad merdeka, bentuk cabaran mungkin telah berubah. Daripada penjajahan bersenjata kepada penjajahan minda, daripada peperangan fizikal kepada peperangan siber, daripada serangan ketenteraan kepada pengaruh ideologi dan media sosial. Namun, intipati tanggungjawab tetap sama pentingnya dalam mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Kemerdekaan bukan sekadar milik masa lalu, tetapi amanah yang perlu dijaga untuk masa depan. Ia adalah warisan perjuangan, lambang perpaduan dan simbol kedaulatan yang tidak boleh digadaikan. Hanya dengan semangat kebersamaan dan kesedaran mendalam, Malaysia akan terus berdiri teguh sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. -airtimes.my

#Airtimes #Merdeka #Patriotisme #TanahMelayu #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply