Home DiskusiZa’ba: Pejuang pemikiran, pencetus kebangkitan bangsa

Za’ba: Pejuang pemikiran, pencetus kebangkitan bangsa

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Lembaran sejarah kemerdekaan tanah air yang terlakar tidak hanya melalui keringat dan pengorbanan daripada para perwira di medan tempur. Tetapi perjuangan melawan penjajahan juga hadir dalam bentuk lebih halus, iaitu peperangan menerusi pemikiran yang mampu menakluk minda rakyat dan melumpuhkan semangat penjajah.

Selain kekuatan fizikal dan senjata, strategi psikologi terbukti memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan. Ini kerana, perjuangan yang menyentuh aspek pemikiran, membangkitkan kesedaran bahawa bangsa Melayu tidak mudah tunduk kepada kuasa asing, sekali gus mengubah corak pemikiran masyarakat.

Tidak dinafikan penentangan secara fizikal hingga melibatkan pertumpahan darah lebih menggerunkan musuh, namun penentangan melalui pemikiran adalah lebih licik, kerana ia menanam keyakinan dan jati diri dalam jiwa rakyat.

Perjalan Za’ba  

Za’ba atau Tan Sri, Dr Zainal Abidin Ahmad antara tokoh yang menonjol dalam medan perjuangan pemikiran. Beliau yang lebih dikenali sebagai Za’ba merupakan seorang sasterawan negara dan dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Negeri Sembilan pada 16 September 1895. Beliau juga berketurunan Minangkabau dan Bugis.

Sejak kecil, minat dan cintanya terhadap ilmu serta penulisan jelas terserlah, apabila gelagatnya menulis di atas daun pisang menarik perhatian ayahnya. Daripada peristiwa itu, ayahnya menghadiahkan papan tulis bagi memupuk dan mengasah minatnya itu dan sebagai tanda sokongan.

Dorongan keluarga itu lah menjadi asas kepada perjalanan beliau lahir sebagai penulis. Minat tersebut berkembang sehingga Za’ba aktif menulis dalam akhbar dan majalah tempatan seperti Utusan Melayu, Pengasuh. Melalui medium ini, beliau menyeru bangsa Melayu agar celik ilmu, berani bersuara serta tidak tunduk mudah tunduk kepada penjajah.

Pendeta Za’ba bukan sekadar seorang penulis dan cendekiawan Melayu yang dihormati, malah seorang pemikir Melayu, ahli falsafah, ahli bahasa, tokoh politik dan ekonomi. Sumbangannya terhadap bahasa Melayu moden menjadikan beliau antara figura terpenting dalam membina identiti kebangsaan. Usaha menterjermah dan menerbitkan buku sekolah turut memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Tokoh pencetus kesedaran

Meskipun, Za’ba tidak terlibat secara langsung dalam pengisytiharan kemerdekaan, peranannya dalam menyemai kesedaran bangsa Melayu amat besar. Pemikiran beliau yang jauh ke hadapan berbanding masyarakat ketika itu, melahirkan karya-karya bernuansa pendidikan dan nasihat. Baginya bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi senjata yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun.

Tulisannya yang sarat dengan mesej tersirat menjadi wadah untuk mendidik dan membangkitkan semangat nasionalisme. Karya yang dianggap ringan bukan sekadar kata-kata kosong, namun ia mempunyai nilai perjuangan yang mendalam dan mampu mengubah ke arah kemajuan. Melalui penulisannya, Za’ba mengingatkan bahawa tanpa ilmu, bangsa Melayu akan terus terpinggir dan tidak mampu mengurus negara sendiri.

Sumbangan terhadap kemerdekaan

Antara karya penting beliau ialah siri monograf seperti Bahasa Pelita dan Ilmu Mengarang. Menurut beliau dalam penulisan itu, tugas sebagai seorang penulis ialah suatu tanggungjawab dalam menyumbang kepada kemajuan bangsa melalui bahasa dan ilmu. Penulisan yang berilmiah bukan sahaja membangkitkan kesedaran, tetapi menjadi bahan bakar intelektual kepada generasi pejuang kemerdekaan.

Peranan Za’ba jelas bukan dalam medan peperangan bersenjata, tetapi dalam perjuangan pemikiran. Karya-karya beliau membantu melahirkan generasi yang berani berfikir, kritis terhadap penjajah, dan yakin dengan kebolehan sendiri. Kesedaran ini mampu menyemai semangat nasionalisme yang akhirnya mendorong kepada perjuangan menuntut kemerdekaan.

Beliau menegaskan bahawa bangsa Melayu harus membina kekutan melalui pendidikan. Tanpa ilmu, bangsa ini tidak akan mampu berdiri dan menyaingi dengan kuasa asing. Pandangan itu secara tidak langsung menjadi dorongan kepada generasi baharu untuk terus menimba ilmu dan mengangkat bahasa sebagai asas kekuatan bangsa.

Za’ba membuktikan bahawa perjuangan tidak semestinya dengan senjata yang ampuh, penulisan juga mampu mencetuskan perubahan besar. Melalui bahasa, beliau membina benteng yang dapat menahan anasir penjajahan daripada terus meracuni pemikiran masyarakat. Sehingga kini, karya-karyanya yang menyentuh isu teras menjadi pedoman dan kayu ukur untuk terus bangkit di kala era kini lebih mencabar dan berpengaruh. Perjuangan Za’ba tidak pernah terhenti, tetapi pemikirannya melalui karya terus hidup dalam sistem pendidikan, bahasa yang membentuk jati diri bangsa.

Generasi kini, mungkin tidak lagi berhadapan dengan penjajah secara fizikal, tetapi cabaran globalisasi dan dominasi budaya asing menuntut roh perjuangan yang sama, dengan mempertahankan bahasa, mendalami ilmu serta membina pemikiran yang lebih kritis.

Baginya, bahasa mampu melahirkan bangsa yang berfikir dan seterusnya akan membina sebuah tamadun yang teguh. Kata-kata yang tercatat dari penulisan, menjadi peringatan bahawa kemerdekaan sebenar tidak hanya merujuk kepada kebebasan politik, tetapi juga kepada kebebasan berfikir, berilmu dan berbudaya. -airtimes.my

#Airtimes #Za’ba #Penulisan #Perjuangan #Merdeka #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply