Home SemasaPolis akan jadi pemudah cara, hormati hak rakyat berhimpun – KPN

Polis akan jadi pemudah cara, hormati hak rakyat berhimpun – KPN

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta perhimpunan secara aman yang dijadualkan esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pasukannya komited untuk menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak untuk mengekalkan suasana harmoni sepanjang tempoh perhimpunan berlangsung.

“Peserta perhimpunan juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada dan memelihara ketenteraman awam,

“Kami berharap setiap suara yang dizahirkan disampaikan dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan adab masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Dewan Pemuda PAS selaku pihak penganjur menjangkakan sehingga 50,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan esok di sekitar Kuala Lumpur.

Pada 12 Julai lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata bahawa mobilisasi penyokong sedang giat dijalankan, melibatkan semua peringkat termasuk di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Menurut beliau, perhimpunan tersebut akan diadakan secara aman dan tertib, selaras dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dewan Pemuda PAS selaku pihak penganjur menjangkakan sehingga 50,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan esok di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum tentang perhimpunan Sabtu ini dan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan serta semangat reformasi, beliau menitipkan pesanan agar ia berlangsung secara aman dan tertib.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis berkata, Anwar mengarahkan pihak polis untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam dan kelancaran perhimpunan itu.

“Kedua, pendirian kerajaan Madani adalah jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi,

“Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan, adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil. Bawah kepimpinan perdana menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati,

“Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam, tidak akan disekat secara membuta tuli. Sebaliknya, ia dianggap sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi tidak melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan awam,” jelasnya. -airtimes.my

#semasa #himpunan #PemudaPAS #TolakAnwar #airtimes

Related Articles

Leave a Reply