Home Diskusi Kekuatan industri pertahanan simbolik kebangkitan Turkiye

Kekuatan industri pertahanan simbolik kebangkitan Turkiye

by Aqilah Azman

Turkiye tidak lagi sekadar penonton dalam perlumbaan industri pertahanan global. Negara yang terletak di persimpangan Asia dan Eropah ini kini menjadi pemain utama dalam pengeluaran teknologi ketenteraan moden – hasil transformasi menyeluruh selama dua dekad yang menumpukan kepada pengurangan kebergantungan terhadap import dan pembangunan kemampuan tempatan.

Turkiye bukan sekadar negara Islam yang kaya dengan sejarah dan kebudayaan. Kedudukannya yang strategik telah memperkukuh keperluannya untuk memiliki sistem pertahanan yang berdikari dan berdaya saing. Hasilnya, industri pertahanan negara itu kini berkembang menjadi nadi penting kepada kekuatan dalaman dan pengaruh antarabangsa Ankara.

Salah satu pemacu utama kepada kejayaan ini ialah Turkish Aerospace Industries (TAI) atau TUSAS, syarikat gergasi yang mengendalikan pembangunan, pengujian dan pemodenan pelbagai sistem penerbangan termasuk pesawat tempur, UAV serta satelit komunikasi. Di sinilah muncul wajah-wajah baharu aset tempur buatan tempatan seperti Bayraktar TB2, Hurjet, dan TF KAAN – simbol kepada keupayaan Turkiye yang tidak lagi dipandang ringan.

Transformasi ini sebahagiannya dicetuskan oleh keputusan Amerika Syarikat pada 2019 yang menggugurkan Turkiye daripada program jet pejuang F-35 setelah Ankara membeli sistem pertahanan S-400 dari Rusia. Ironinya, tindakan itu menjadi pemangkin kebangkitan teknologi tempatan.

Bayraktar TB2 yang dibangunkan oleh Baykar bukan sahaja menonjol dalam konflik di Syria, Libya dan Ukraine, tetapi turut mencipta rekod eksport ke lebih 30 negara. Lebih dari sekadar senjata, TB2 menjadi alat diplomasi dan lambang kemandirian pertahanan Turkiye.

Turkiye turut melancarkan pelbagai produk berimpak tinggi termasuk UAV Anka, helikopter T129 ATAK, peluru berpandu tempatan, dan jet generasi kelima KAAN. Dalam masa yang sama, keupayaan satelit seperti Göktürk-2 memperkukuh sektor angkasa. Semuanya disokong oleh sistem integrasi pertahanan yang kompleks merentasi domain darat, laut, udara, siber dan AI.

Satu pendekatan penting ialah pembinaan ekosistem menyeluruh – meliputi penyelidikan, pembangunan (R&D), latihan, logistik dan penyelenggaraan. Ini bukan sahaja memastikan ketahanan teknologi tetapi turut menarik minat kerjasama antarabangsa. Misalnya, pembukaan pejabat TUSAS di Cyberjaya, Malaysia menjadi bukti kesediaan Turkiye memperluas pengaruh dan kerjasama serantau dalam bidang pertahanan.

“Kedua-dua negara turut meneroka peluang baharu dalam kebolehoperasian angkatan tentera dalam semua domain – darat, laut, udara, siber dan AI,” kata Menteri Pertahanan Malaysia, Khaled Nordin semasa lawatan balas oleh rakan sejawatannya dari Turkiye, Yasar Guler.

Malah, Turkiye telah menawarkan Malaysia untuk terlibat dalam projek jet pejuang generasi ke-5, KAAN. Tawaran ini mungkin perlu dipertimbangkan memandangkan Malaysia telah memilih ANKA sebagai teraju ulung pengoperasian UAV MALE oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penglibatan Turkiye dalam dunia pertahanan Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi kita semua. Pada ketika ini, masyarakat umum mengetahui bahawa projek Littoral Mission Ship Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia kini sedang berjalan dengan lancar di Turkiye.

Hakikatnya, produk industri pertahanan Turkiye bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia. Sebagai contoh, AV8 Gempita yang dihasilkan oleh DefTech merupakan hasil kerjasama syarikat itu dengan FNSS dari Turkiye.

Sebelum terhasilnya Gempita, FNSS telah membekalkan kereta perisai ACV 300 Adnan kepada Tentera Darat Malaysia.

Kenderaan berperisai Turkiye terus menjadi pilihan apabila Panthera keluaran Nurol Makina telah dipilih untuk menggantikan peranan Radpanzer Condor dalam operasi pengaman Batalion Malaysia (MALBATT 850) di Lubnan.

Turkiye kini menjadi pilihan rakan dagang pertahanan antarabangsa, bukan sahaja kerana kos rendah dan keberkesanan sistem, tetapi kerana produknya bebas daripada sekatan politik yang sering membelenggu urus niaga senjata Barat.

Lebih dari itu, kejayaan ini turut memacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Agensi seperti Presidency of Defence Industries (SSB) memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menyelaras sokongan kepada syarikat seperti ASELSAN, HAVELSAN, ROKETSAN, STM, dan TUSAS agar sejajar dengan dasar keselamatan negara.

Kejayaan industri pertahanan Turkiye bukan sahaja satu pencapaian teknikal, tetapi juga strategi geopolitik. Ia meletakkan Turkiye sebagai kuasa penyeimbang dalam dunia yang semakin terpolarisasi – aktif dalam rundingan, pembangunan bersama dan kerjasama strategik merentasi Asia, Afrika dan Timur Tengah.

Kesimpulannya, Turkiye telah membuktikan bahawa dengan visi strategik dan keazaman nasional, sebuah negara yang dahulunya bergantung kepada senjata import mampu menjadi pengeksport kuasa besar. Mereka tidak hanya menjual senjata – mereka menjual keyakinan dan model kemandirian yang memberikan inspirasi. – airtimes.my

 #AirTimes #Defence #TAI #TUSAS #Baykar #Turkiye

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?