if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Hamzah: Tarif 24% AS akan burukkan lagi kemerosotan nilai dagangan Malaysia

Hamzah: Tarif 24% AS akan burukkan lagi kemerosotan nilai dagangan Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyuarakan kebimbangan terhadap pengenaan tarif timbal balik (reciprocal tariff) sebanyak 24% oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden AS.

Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai satu cabaran yang serius dan berpotensi menjerumuskan ekonomi negara ke dalam situasi tekanan “tiga serangkai” atau triple shock yang melibatkan kesan global, cabaran dalaman, dan dasar fiskal yang belum disesuaikan.

“Sebelum pelaksanaan peningkatan tarif timbal balik ini, nilai lebihan dagangan negara pada tahun 2024 telah merosot kepada RM136.88 bilion berbanding RM214.10 bilion pada tahun 2023 dan RM255.10 bilion pada tahun 2022.

“Standard & Poor (S&P) juga telah melaporkan bahawa Indeks Pengurusan Perolehan atau Purchasing Manager’s Index (PMI) bagi sektor pembuatan negara mengalami penguncupan bagi tempoh 26 bulan dari 27 bulan terakhir.

“Selain itu, tekanan perniagaan akan lebih hebat apabila kenaikan tarif asas elektrik terhadap industri berkuatkuasa pada Julai 2025,” katanya Ahli Parlimen Larut dalam satu kenyataan.

Seruan Melindungi Industri Tempatan

Hamzah menyeru kerajaan untuk segera melindungi kepentingan dan meredakan kebimbangan pemain industri eksport tempatan, termasuklah sektor pembuatan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bakal terjejas teruk akibat peningkatan kos perniagaan serta kelembapan permintaan pasaran global.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera agar pemain industri ini tidak terpaksa gulung tikar atau mengurangkan bilangan pekerja akibat cabaran global dan domestik yang mereka hadapi,” tegas beliau.

Hamzah turut mengemukakan beberapa cadangan yang dianggap wajar dipertimbangkan oleh kerajaan bagi menghadapi impak tarif timbal balik ini. Beliau mencadangkan supaya pelaksanaan penguatkuhan cukai (tax delay) ditunda bagi memberi ruang kepada industri menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

 Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan dana bantuan khas yang berbentuk geran padanan atau pinjaman kewangan kepada pemain industri tertentu agar mereka tidak terpaksa gulung tikar atau mengurangkan jumlah pekerja.

Beliau juga menekankan kepentingan kerajaan menyediakan insentif eksport yang lebih segar dan menarik bagi membolehkan pemain industri meneroka pasaran baharu serta meningkatkan daya saing mereka.

Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN

Hamzah turut mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN 2025 untuk merangka tindak balas selaras dalam kalangan negara ASEAN terhadap dasar baharu yang diumumkan oleh AS.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya bersikap jujur dan terbuka dalam menguruskan isu ini dengan semua pihak yang terlibat, termasuk pemain industri.

“Kerajaan tidak boleh berselindung disebalik angka-angka di atas kertas kerana penyelesaian kepada masalah rakyat dan negara bergantung kepada pelan tindakan yang berasaskan realiti, bukan ilusi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan kerajaan untuk menyediakan insentif yang lebih baik kepada pemain industri perlu dipertingkatkan bagi menghadapi cabaran yang sedang dihadapi negara. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa #Tarif

Related Articles

Leave a Reply