Home Pertahanan dan Keselamatan Diplomasi pertahanan jadi keutamaan selagi keamanan dan kedaulatan Malaysia terpelihara

Diplomasi pertahanan jadi keutamaan selagi keamanan dan kedaulatan Malaysia terpelihara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Malaysia akan terus memanfaatkan diplomasi pertahanan sebagai pendekatan utama dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara terutamanya di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, selagi diplomasi pertahanan mampu menjaga keamanan dan kestabilan negara, ia akan terus diberi keutamaan.

Menurutnya, selagi Malaysia dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti penggalian minyak dan gas, perdagangan, pelancongan serta kegiatan nelayan tanpa gangguan, pendekatan diplomasi pertahanan akan terus dimanfaatkan.

“Selagi kegiatan ekonomi kita tidak diganggu, saya fikir diplomasi pertahanan itu akan kita terus manfaatkan untuk pastikan kedaulatan negara kita sentiasa terjaga,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara,hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui apakah fokus pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dilihat semakin kritikal.

Terdahulu, mengulas mengenai langkah pemodenan TLDM, Adly memaklumkan bahawa kapal-kapal Tentera Lauat Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa dinaik taraf dan diubah suai melalui program ‘refeet’ bagi memastikan kemampuan operasi dalam menghadapi cabaran berbeza di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan negara dan menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara aspek keselamatan dan kedaulatan.

“Kapal pengawal pantai dilihat mempunyai tujuan keselamatan, manakala kapal ketenteraan China pula mempunyai kepentingan kedaulatan yang lebih jelas,

“Kalau kita hendak bertindak, kita bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) agar tindakan mengikut ruang yang ada,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #LautChinaSelatan #Malaysia #China

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?