KUALA LUMPUR, 13 MAC – Malaysia masih belum menerima kata putus daripada Kerajaan Mesir berhubung penghantaran pulang 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu cedera yang menerima rawatan di negara ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pada ketika ini, kementerian masih berkomunikasi dengan pihak Mesir dan berharap dapat dimuktamadkan secepat mungkin berikutan rundingan pengambilan rakyat Palestin adalah dengan pihak Mesir.
“Kita (kementerian Pertahanan) masih menunggu penyelarasan dengan pihak Mesir untuk memastikan kita boleh menghantar pulang warga Palestin ke Gaza,
“Kita sudah ada beberapa siri perbincangan, cuma tunggu masa yang sesuai untuk hantar mereka pulang ke Palestin. Kita perlu pastikan beberapa aspek keselamatan diselaraskan terlebih dahulu,” katanya selepas Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, hari ini.
Bagaimanapun, mengenai penjagaan, kesemua rakyat Palestin terbabit ketika ini di bawah penjagaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Adly berkata, pihaknya bekerjasama dengan JAKIM bagi memastikan kebajikan warga Palestin terus terjaga walaupun tidak lagi tinggal di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).
“Memang hasrat mereka dan menjadi hasrat kita juga untuk pastikan dengan gencatan senjata yang sedang diusahakan supaya mereka dapat kembali ke tanah air,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brigedier Jeneral Hamdan Ahmad dan Guru Besar SK Kementah, Mohd Rizan Baba.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 rakyat Palestin termasuk 41 pesakit telah tiba ke Malaysia dengan menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan dua buah pesawat A400M bagi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk menerima rawatan di Malaysia dari Kaherah, Mesir ke Malaysia.
41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, ditempatkan dan menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL). -airtimes.my
#AirTimes #Palestin #WTKL #Mesir #Malaysia