Home Pertahanan dan Keselamatan A400M TUDM galas amanah, laksana misi bawa rakyat Palestin cedera untuk dirawat ke Malaysia

A400M TUDM galas amanah, laksana misi bawa rakyat Palestin cedera untuk dirawat ke Malaysia

Misi ini telah melibatkan seramai 75 pegawai dan anggota ATM serta agensi awam merangkumi krew penerbangan, anggota TUDM dan Aeromedical Team dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).

by M.Daim

SUBANG, 16 OGOS – Seramai 127 rakyat Palestin telah selamat tiba ke Malaysia, hari ini.

Amanah dan tanggungjawab murni bagi membawa rakyat Palestin cedera dan memerlukan rawatan di Malaysia telah digalas oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dengan menggunakan pesawat A400M.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia, misi ini dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera akibat konflik.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap bantuan kemanusiaan dan sokongan kepada rakyat Palestin,

“Melalui misi ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakkan dua buah pesawat A400M bagi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk menerima rawatan di Malaysia dari Kaherah, Mesir ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan pemerhatian Air Times, kedua-dua pesawat telah mendarat di Subang pada pukul 2.04 petang dan 2.25 petang.

Kedua-dua pesawat ini membawa 127 rakyat Palestin yang terdiri daripada 41 pesakit dan 86 waris.

Pesakit adalah terdiri daripada pelbagai lapisan umum termasuk kanak-kanak dan bayi yang memerlukan rawatan.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia, misi ini  telah melibatkan seramai 75 pegawai dan anggota ATM serta agensi awam merangkumi krew penerbangan, anggota TUDM dan Aeromedical Team dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK).

“Kesemua pesakit yang dibawa ke Malaysia telah melalui proses tapisan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), ATM  bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan yang panjang,

“Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit termasuklah patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata dan lain-lain penyakit serta kecederaan yang berpanjangan kesan daripada akses kepada kemudahan kesihatan yang terhad,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua pesakit akan ditempatkan sementara di Pangkalan Udara Subang yang telah dijadikan sebagai Mini Hospital (Medical Staging Area).

“Hangar No 16 Skuadron dijadikan sebagai persinggahan sementara rakyat Palestin setelah tiba di Malaysia, sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur,

“Selain itu, sebanyak 26 buah ambulan telah disediakan untuk bawa pesakit dari lapangan terbang ke hospital, serta sebuah bas dan 8 buah van untuk membawa waris dari transit ke hospital,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?