Pendedahan MARDI bahawa beras tempatan bersubsidi dicampur dengan beras import mengejutkan rakyat. Kira-kira 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan.
Mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dengan beras import untuk dijual pada harga beras import merupakan satu pengkhianatan.
Rakyat khususnya golongan bawahan dipaksa membeli beras import campuran ini kerana ketiadaan beras tempatan di pasaran.
Harga beras import adalah RM10 lebih mahal berbanding beras tempatan.
Dalam suasana umat Islam menyambut Ramadan, isu ketiadaan beras tempatan lebih dirasai kerana keperluan bekalan itu kepada pengguna yang berhasrat membeli beras pada harga murah.
Bermakna isu yang selama ini dianggap spekulasi rupa-rupanya benar. Rakyat merasa teraniaya, namun isu lain yang lebih utama ialah kesannya iaitu beras sebagai sumber makanan strategik.
Beras adalah makanan ruji bagi majoriti penduduk di Malaysia dan Asia. Kebergantungan tinggi terhadap beras menjadikannya komoditi yang sangat penting. Justeru, ia adalah sumber makanan strategik kita.
Isu beras tempatan dijual sebagai beras import timbul sejak tiga tahun lalu. Pada tahun 2023 juga, telah mula kedengaran tentang kehilangan beras tempatan di pasaran.
Sehingga hari ini, isu kekurangan beras tempatan di pasaran masih berlaku walaupun kerajaan melalui pelbagai agensi memberitahu telah mengambil langkah sewajarnya.
Terbaru, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.
Sebagai sumber makanan ruji, maka pengeluaran dan bekalan beras yang stabil amat penting untuk memastikan kestabilan makanan negara.
Ini kerana sebarang gangguan boleh menyebabkan krisis makanan dan kenaikan harga.
Paling penting ialah kestabilan harga dan ketersediaan bekalan kerana ia akan mempengaruhi kestabilan sosial dan ekonomi.
Pada sudut strategik, kerajaan ada menyimpan stok penimbal beras untuk mengelakkan sebarang krisis bekalan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Bagaimana pun, pada rakyat biasa kepentingan bagi mereka ialah untuk mendapat bekalan beras pada harga tidak mahal.
Kenaikan harga beras boleh menyebabkan keresahan rakyat dan memberi kesan kepada kos sara hidup. Situasi inilah yang sedang dihadapi dan menjadi keluhan rakyat.
Malaysia mengimport 1,358,718 tan beras setakat September 2024 seperti dari Thailand, Vietnam, Pakistan, Kemboja, India, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Sepanyol.
Pada tahun 2021, kadar tahap sara diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) bagi beras di Malaysia adalah 65%, menunjukkan bahawa pengeluaran domestik hanya memenuhi 65% daripada permintaan, manakala selebihnya 35% bergantung kepada import.
Negara memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 hektar tanah sawah padi. Namun, keluasan semasa hanya sekitar 280,000 hingga 300,000 hektar, yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tersebut.
Bekalan beras tempatan bukan sahaja untuk menampung keperluan rakyat Malaysia, malah juga dibeli warga asing yang bekerja dan menetap di sini.
Dianggarkan terdapat kira-kira 3 juta warga asing di Malaysia, manakala jumlah rakyat kita pula mencecah 30 juta.
Jika tidak dikawal dibimbangi isu ketiadaan beras tempatan di Malaysia ini boleh menjadi buruk sepertimana ‘Mogok Tempe’ di Indonesia.
Indonesia berdepan dua situasi ‘Mogok Tempe’ disebabkan kenaikan kos kacang soya iaitu pada 2008 dan 2022. Tempe merupakan makanan penting dan sumber protein utama rakyat republik itu.
Kenaikan mendadak harga kacang soya menyebabkan para pengusaha tempe dan tauhu berhenti beroperasi selama beberapa hari.
Kerajaan Indonesia terpaksa campur tangan dengan memberikan subsidi dan insentif kepada pengusaha kecil.
Mogok ini mencerminkan bagaimana kenaikan harga bahan mentah boleh memberi kesan besar kepada industri makanan rakyat.
Ia juga menunjukkan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh sektor pertanian tempatan.
Jika krisis bekalan beras tempatan terus berlarutan tanpa langkah pencegahan, ia boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.-airitmes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #beras #berascampur #berasputih