KOTA TINGGI, 9 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini berada dalam fasa akhir penilaian bagi kesesuaian dan cabaran tapak dalam membangunkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), untuk Markas Wilayah Laut Empat (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak.
“Kita masih lagi di peringkat akhir untuk megenal pasti kesesuaian dan cabaran dalam pemilihan tapak,” jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perasmian Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau sempena Ramadan, di sini.
Menurutnya lagi, kementerian komited memastikan projek disegerakan dan ia penting bagi menampung tiga buah kapal misi pesisir (LMS).
Bagaimanapun, beliau berkata, mempunyai satu pangkalan laut di Sarawak adalah diperlukan, walau terdapat masalah-masalah tertentu.
Terdahulu, MINDEF telah berunding dengan kerajaan Sarawak bagi menempatkan pangkalan TLDM di negeri itu, untuk menjamin kedaulatan perairan terutama ketika menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.
Kapal-kapal LMS terbabit, dibina oleh syarikat dari Turkiye dan dijangka siap pada tahun 2027. -airtimes.my
#AirTimes #MINDEF #TLDM LMS #Bintulu #Sarawak #Malaysia