KUALA LUMPUR, 10 FEB: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan, kepentingan Malaysia sebagai rakan strategik utama dalam lawatan rasminya ke Asia, yang bermula hari ini.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memperhebatkan kerjasama dalam isu global, khususnya perjuangan Palestin.
Dalam satu hantaran di akaun rasmi X, Erdogan berkata, lawatan empat hari ini akan melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia sebagai negara pertama, diikuti Indonesia dan Pakistan.
“Kami memulakan lawatan empat hari ini bagi memenuhi jemputan Malaysia, Indonesia dan Pakistan. Persinggahan pertama kami ialah Malaysia, yang telah menjadi rakan strategik komprehensif kami sejak 2022 dan memegang jawatan presiden Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025,
“Sepanjang lawatan ini, kami akan menandatangani pelbagai perjanjian untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala,” kata Erdogan.
Sebagai persinggahan pertama, Malaysia menjadi tumpuan utama dengan agenda padat, termasuk pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu perdagangan, pelaburan serta kerjasama pertahanan dan teknologi. Selain itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai sebagai langkah mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, dalam konteks antarabangsa, Erdogan menekankan komitmen bersama antara Malaysia dan Turkiye dalam menyokong Palestin.
“Sebagai tambahan kepada kerjasama ekonomi dan komersial kami dengan Malaysia, kami juga bekerjasama rapat di arena antarabangsa, terutamanya untuk kepentingan Palestin. Mudah-mudahan, kami akan meningkatkan lagi ini dalam tempoh yang akan datang ,” tambahnya.
Selepas Malaysia, Erdogan akan berkunjung ke Indonesia, yang meraikan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, sebelum menamatkan lawatannya di Pakistan.
Lawatan ini juga sejajar dengan inisiatif “Asia Anew Initiative” yang diperkenalkan Turkiye pada 2019, bertujuan memperkukuh hubungan dengan negara-negara Asia dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, pertahanan dan diplomasi.
“Saya berharap lawatan ini akan mempercepatkan lagi hubungan erat yang dibina atas dasar persaudaraan dengan Malaysia, Indonesia dan Pakistan,” ujar Erdogan sebelum berlepas. -airtimes.my
#Malaysia #Turkiye #Asia #Hubungandiplomasi #Airtimes #Erdogan