Home Semasa Saya sedih, parti melayu hilang arah – Tun Mahathir

Saya sedih, parti melayu hilang arah – Tun Mahathir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan rasa sedih terhadap perkembangan politik semasa, khususnya membabitkan parti yang pernah memperjuangkan kemerdekaan negara.

Dalam luahannya, Tun Mahathir menyatakan kekecewaannya apabila parti yang ditubuhkan untuk menentang campur tangan British dalam negeri-negeri Melayu kini sanggup berada di bawah naungan parti lain.

“Saya sedih. Saya sedih kerana parti yang ditubuhkan untuk menolak percubaan British merampas negeri-negeri Melayu; parti yang memerdekakan Tanah Melayu sekarang sudah jadi parti yang rela meletakkan diri di bawah parti lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, kepentingan peribadi kini lebih diutamakan oleh wakil-wakil Melayu, tanpa mengambil kira masa depan tanah air serta generasi akan datang.

“Yang diutamakan oleh wakil orang Melayu ialah kedudukan mereka. Apa akan jadi kepada Tanah Melayu, apa akan jadi kepada anak cucu tidak penting. Yang penting ialah layanan diri,” tambahnya.

Tun Mahathir turut menegaskan bahawa perjuangannya bukan bertujuan merampas hak orang lain, sebaliknya hanya untuk mempertahankan hak orang Melayu.

“Bukan nak rampas hak orang. Hanya mempertahan hak kita. Tak pedulikan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap sikap segelintir wakil rakyat yang didakwa enggan mendengar permasalahan rakyat dan lebih mementingkan kepentingan peribadi.

“Nak dengar masalah pun tak sanggup. Ini bukan wakil rakyat. Ini wakil ketamakan diri,” katanya.

Tun Mahathir mengakhiri kenyataannya dengan nada sinis, menyatakan bahawa kesedihannya tidak dihiraukan kerana pihak berkepentingan lebih mengutamakan kepuasan diri sendiri.

“Pedulikan kesedihan. Syok sendiri,” ujarnya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?