MANILA, 28 JAN – Kedutaan Amerika Syarikat di Manila, semalam menyatakan pasukan pengawal pantai dan perikanan dari Filipina, Amerika Syarikat (AS), Vietnam dan Indonesia mengadakan latihan penguatkuasaan undang-undang maritim bersama.
Kedutaan AS memaklumkan, ia sebahagian daripada usaha serantau dalam meningkatkan kerjasama undang-undang berikutan peningkatan konflik maritim dengan China yang membimbangkan.
“Secara bersama, kami menegaskan kembali komitmen untuk memastikan kedaulatan maritim kami kekal sebagai zon keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua,” kata Komander Daerah Pengawal Pantai Filipina, Rejard V Marfe dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Kedutaan AS hari ini.
Menurut kenyataan lagi, latihan bersama tiga negara Asia Tenggara yang telah berlangsung selama dua minggu di Pulau Mindanao, Filipina itu meliputi teknik mendekati dan menahan kapal.
Marfe menyifatkan latihan dari 13 hingga 24 Januari 2025 lalu itu suatu yang bermakna dan satu persediaan menangani ancaman maritim, namun tidak menyentuh mengenai China.
Berikutan, pertembungan atau ketegangan antara kapal Filipina dan China kerap berlaku di laluan air strategik, termasuk insiden baru-baru ini yang membabitkan kapal Vietnam dan Indonesia.
Dalam pada itu, China meningkatkan jumlah pasukan tentera lautnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai langkah meluaskan jangkauannya di rantau Pasifik dan mencabar pakatan pemimpin AS.
Susulan, China dilaporkan mengerah kapal tentera dan pengawal pantai untuk menghalang Filipina memasuki kawasan terumbu dan pulau strategik penting di Laut China Selatan.
Sementara itu, Pasukan Sempadan Australia turut menyertai pengawal pantai, penguatkuasa kastam dan pegawai pengawasan perikanan sebagai pemerhati ketika latihan.
Latihan itu meliputi teknik menaiki kapal dengan selamat di laut, undang-undang maritim, pengumpulan dan pemeliharaan bukti, pengurangan risiko dan keselamatan serta teknik pemberkasan. -airtimes.my
#AirTimes #maritim #ASEAN #AS #Filipina