GAZA, 28 NOV – Puluhan ribu rakyat Palestin mula pulang ke utara Gaza selepas Israel membuka sekatan jalan raya sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Perkembangan gencatan senjata ini berlaku selepas Hamas bersetuju membebaskan tebusan wanita Israel, Arbel Yehud bersama dua tebusan lain.
Tentera Israel memaklumkan bahawa rakyat Palestin akan dibenarkan kembali ke utara Gaza dengan berjalan kaki melalui Koridor Netzarim dan Jalan Al-Rashid di kawasan pantai bermula jam 7 pagi waktu tempatan.
Dalam perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, penduduk di utara Gaza dibolehkan pulang pada hujung minggu lalu, tetapi Israel berkata Hamas melanggar perjanjian kerana tidak membebaskan tebusan sekaligus pihaknya menutup lintasan.
Qatar sebagai perantara berkata Hamas bersetuju untuk membebaskan Yehud dan dua tebusan lain sebelum Jumaat, dan Israel akan membenarkan penduduk Palestin kembali ke utara Gaza utara bermula Isnin.
Dalam perkembangan sama, pemimpin kanan Hamas, Izzat al-Rishq berkata bahawa kepulangan rakyat Palestin ke utara Gaza merupakan satu kemenangan buat Palestin dan kekalahan bagi Israel.
“Kepulangan rakyat yang dipindahkan adalah satu kemenangan bagi rakyat kami dan satu pengisytiharan kegagalan serta kekalahan pendudukan (Israel) dan rancangan pengusirannya.
“Kepulangan rakyat kami ke rumah mereka sekali lagi membuktikan kegagalan pendudukan Israel dalam mencapai matlamat agresifnya untuk mengusir rakyat kami dan mematahkan semangat mereka,” ujar beliau.
Izzat al-Rishq juga menggesa agar penghantaran bantuan kemanusiaan ke semua kawasan di wilayah utara Gaza itu turut dipertingkatkan.
#gencatansenjata #pendudukGaza #pulang #utaraGaza #Palestin #Hamas #Airtimes