KUALA LUMPUR, 23 Dis – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan, institusi perubatan awam negara kini menghadapi gelombang krisis yang besar dan semakin parah.
Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia susulan daripada peletakkan jawatan lebih 6,000 doktor dalam tempoh 5 tahun lalu, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Dominic Lau, isu ini berpunca daripada tekanan dan beban kerja berlebihan yang dialami oleh para doktor, selain kekurangan kemudahan asas, termasuk sistem komputer yang efisien.
“Walaupun untuk menjejak laporan ujian darah yang mudah, doktor tidak dapat mengaksesnya melalui sistem komputer,
“Sebaliknya, ia perlu dilakukan secara manual dengan menyemak dokumen fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah bahawa banyak negara telah bergerak ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan, tetapi hospital kerajaan Malaysia masih tidak mempunyai sistem komputer asas.
Malah, doktor terpaksa mencatat laporan perubatan secara manual, yang membebankan lagi tugas mereka.
Sebagai contoh, beliau menyoroti keadaan di Hospital Selayang, yang pada awalnya dirancang sebagai hospital moden tanpa kertas.
Namun, jelasnya, hospital tersebut bahkan tidak memiliki sistem komputer asas untuk pengurusan ujian darah.
“Pesakit atau ahli keluarga perlu membawa sampel darah dan borang ke makmal secara manual, menunggu laporan siap dan kemudian membawanya kembali kepada doktor,
“Keadaan ini juga berlaku di banyak hospital besar lain. Saya tidak faham mengapa kerajaan tidak membangunkan sistem komputer yang mampu merekodkan semua maklumat pesakit, supaya doktor hanya perlu menekan beberapa kekunci untuk memahami keadaan pesakit,” ujarnya lagi.
Janji lama, masalah berterusan
Dominic Lau turut mempersolakan janji yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, pada tahun 2018 untuk menyelesaikan masalah sistem perubatan awam.
Namun, sehingga kini, isu tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya. Bahkan, apabila Dzulkefly kembali menjawat jawatan Menteri Kesihatan pada Disember 2023 dengan menyatakan ada ‘tugas yang belum selesai’, tiada perkembangan positif yang kelihatan.
“Menteri sering menyebut masalah yang dihadapi oleh sistem perubatan awam tetapi tidak menyelesaikannya. Ini menyebabkan jumlah pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan awam semakin meningkat,
“Pengaliran keluar tenaga kerja ini telah melemahkan sistem penjagaan kesihatan negara secara serius,” tegas Dominic Lau.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tugas-tugas yang boleh dilakukan oleh sistem komputer masih memerlukan tenaga manusia.
“Kerajaan bercakap tentang menggalakkan ekonomi digital, tetapi hospital sendiri menghadapi masalah dengan sistem komputer asas,” tambahnya.-airtimes,my
#semasa #airtimes #Malaysia #perubatanawam #doktor