KUALA LUMPUR, 29 NOV – Seramai 82,794 anggota keselamatan dan penyelamat dikerah untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah berkenaan merangkumi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) seramai 28,444 anggota, Angkatan Tentera Malaysia (ATM,17,089), Polis Diraja Malaysia (PDRM,17,216), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM,15,064) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA, 4,981).
Menurutnya, Kerajaan turut melibatkan NGO, sukarelawan, serta komuniti setempat seperti Persatuan Pacuan 4×4 dan Persatuan Radio Amatur untuk mempercepatkan usaha pemindahan dan penyelamatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh operasi di lapangan tetapi juga memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas dan efektif kepada mangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, kerajaan telah mengambil langkah kesiapsiagaan awal dengan melaksanakan sistem amaran bencana bagi menghadapi cabaran fenomena air pasang besar.
Tambahnya, kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, dan agensi penyelamat seperti PDRM, ATM dan JBPM terus diperkukuh bagi memastikan kelancaran operasi.
Sehingga jam 10 pagi, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi sebanyak 60,124 membabitkan 18,750 keluarga sejak Rabu.
Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi sebanyak 21,802 orang, diikuti Tumpat (9,427) dan Kuala Krai (5,344).
Manakala Terengganu pula mencatatkan 20,754 mangsa banjir melibatkan 5,875 keluarga.
Kedah pula merekod 2,829 mangsa banjir, Negeri Sembilan (307), Perlis (488), Selangor (117) dan Perak (65).
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menasihati rakyat agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
“Jika berada dalam keadaan kecemasan, hubungilah pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bantuan segera,
“Dalam era maklumat kini, saya menyeru semua pihak untuk mendapatkan maklumat terkini hanya melalui portal rasmi seperti portalbencana.nadma.gov.my dan mengelak menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta panik dalam kalangan masyarakat,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#semasa #airtimes #banjir #Zahidhamidi #pantaitimur #Malaysia
