TIBNINE, 29 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pasukan MALBATT 850-12 telah melaksanakan program Civil Military Cooperation (CIMIC) di Tibnine Government Hospital sebagai sebahagian daripada usaha membantu masyarakat setempat menghadapi cabaran musim sejuk.
Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan memaklumkan, Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh telah menyerahkan pelbagai sumbangan, termasuk ubat-ubatan, peralatan hospital, mainan dan bahan bacaan kanak-kanak daripada NGO Malaysia kepada wakil Pengarah Hospital Tebnine, Encik Hasan Abbas, pada Selasa lalu.
Menurutnya, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen MALBATT 850-12 untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban masyarakat tempatan dan menyokong misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dalam mempromosikan keamanan dan kesejahteraan,
“Program CIMIC ini merupakan aktiviti pertama yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12 sejak mengambil alih tugas operasi pada 16 November 2024,
“Kejayaan program ini menjadi langkah awal yang signifikan dalam membina kepercayaan dan hubungan erat antara pasukan pengaman dan masyarakat tempatan,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat. -airtimes.my
#airtimes #Malbatt85012 #Lubnan #pertahanan
