KUALA LUMPUR, 15 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan negara tidak akan berganjak dari tuntutan dan pendirian kawasan Malaysia di Laut China Selatan.
Beliau menegaskan perkara tersebut ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut Anwar Ibrahim, operasi cari gali Petronas tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan China.
“Sebab itu penerusan cari gali oleh Petronas termasuk di kawasan Kasawari itu diteruskan,
“Walaupun dibangkitkan oleh negara China, kita kata kita akan teruskan tetapi tidak pernah menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara,” jelas Perdana Menteri yang menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mempunyai isu tersendiri dengan negara-negara jiran. Namun begitu, ia tidak akan menjejaskan hubungan perdagangan dan persahabatan akrab antara negara.
Dalam pada itu, Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia akan terus menegur dan membantah sekiranya perairan Malaysia digunakan untuk laluan pertahanan tanpa kebenaran negara.
Menyentuh persidangan ASEAN yang menyentuh isu Laut China Selatan, Perdana Menteri menyatakan beliau telah memberikan penegasan tentang keperluan dialog.
“Pada Mesyuarat ASEAN lalu, di hadapan Amerika dan China, termasuk Jepun, Korea serta ASEAN, saya tegaskan tentang keperluan dialog terikat kepada UNCLOS 1982,” katanya.
Anwar Ibrahim menyatakan UNCLOS 1982 mengikat semua pihak untuk mematuhinya.
“Saya lihat respons daripada negara China adalah petunjuk penyelesaian mengikut kerangka UNCLOS,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #LautChinaSelatan
