KUALA LUMPUR, 17 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan 96 akaun bank dan aset berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bernilai RM581,552.31.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua akaun bank berkenaan dibekukan untuk siasatan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM.
Beliau berkata, selain pembekuan akaun, sebanyak 4 akaun turut ditutup dan pelbagai kenderaan disita bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak yang dijalankan ketika ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,
“Polis turut menutup 4 akaun telah ditutup dan 8 buah kenderaan telah dikeluarkan perintah pembekuan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Op Global yang dijalankan pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan daripada 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor serta Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.
Sementara itu, pada Jumaat lalu, Razarudin dalam sidang medianya berkata, seramai 13 kanak-kanak penghuni rumah perlindungan tersebut dipercayai menjadi mangsa liwat.
Menurutnya, saringan tersebut dijalankan dengan bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).-airtimes.my
#semasa #airtimes #GISHB #PDRM #siasatan