BEIRUT, 7 SEPT – Tentera Israel dilaporkan bersiap sedia untuk melancarkan operasi serangan darat terhadap selatan Lubnan.
Perkara tersebut dibayangkan oleh ketua tentera Israel, Herzi Halevi yang mendakwa pihaknya sedang berperang dengan Hezbollah.
“Pihak tentera sedang memberikan fokus kepada Hezbollah dan bersiap sedia untuk melancarkan serangan ofensif di dalam Lubnan,” lapor media Turkiye yang memetik kenyataan Herzi.
Menurutnya, serangan yang dilancarkan secara berterusan terhadap Hezbollah dilihat berupaya melemahkan ketumbukan kumpulan itu berdasarkan kesan dan jumlah operatif kumpulan bersenjata itu.
“Bahagian pemerintahan utara tentera telah banyak melancarkan serangan yang melemahkan keupayaan Hezbollah sebelum mereka menyerang Israel,” ujarnya.
Hezbollah, kumpulan bersenjata pro-Iran yang menguasai selatan Lubnan telah melancarkan siri serangan terhadap Israel semenjak Oktober 2023.
Setiausaha Agung Hezbollag sebelum ini menegaskan, serangan yang dilancarkan terhadap Tel Aviv disifatkan sebagai usaha untuk meringankan beban yang dihadapi oleh sekutu mereka di Gaza dalam menghadapi asakan Israel. – airtimes.my
#Lubnan #Global