PUTRAJAYA, 31 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya.
Ini adalah kali pertama Seri Paduka Baginda berdua menyaksikan acara gilang-gemilang itu selepas mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Jan dan 20 Julai lepas.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Ia disusuli terbang lintas 5 pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda di Pentas Diraja.
Sementara itu, acara perbarisan pada kali ini melibatkan 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi.-airtimes.my
#HariKebangsaan #airtimes #semasa #DaulatTuanku #Malaysia
