Home Semasa Tangani isu hasutan: Kerajaan sedia pinda, tambah peruntukan undang-undang

Tangani isu hasutan: Kerajaan sedia pinda, tambah peruntukan undang-undang

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk meminda dan menambah peruntukan undang-undang dalam menangani isu hasutan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.

“Dalam kesempatan ini saya beri amaran, negara ini di tapak dan landasan yang sangat baik dan mampu diangkat cemerlang,

“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum, ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar, tugas kita untuk selamatkan negara Malaysia tercinta ini,

“Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tidak cukup kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya negara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, budaya baharu harus dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.

Tegasnya, pemimpin negara harus lebih bertanggungjawab dan tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara serta menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Harapan saya, saya mahu noktahkan amalan dulu dan mulakan budaya baharu iaitu pimpinan harus lebih bertanggungjawab, tidak diizinkan untuk merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa,

“Apa erti kemerdekaan? Setiap tahun ribuan anak-anak beratur, mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang), menjerit dengan laungan Merdeka! Merdeka!, tetapi jiwanya dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran (rasuah) ini berterusan,

“Kita belajar dari sejarah. Buta sejarah, buta hari, buta perasaan dan buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasutan, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan,

“Apabila keadaan sudah sampai ke tahap yang parah dan rosak tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua rakyat untuk menerima kenyataan bahawa merdeka ini dicapai kerana kekuatan rakyat yang bersatu.

“Walau berbeza pendapat dalam hal-hal kecil, tetapi kita semua terima ini negara Malaysia, setiap rakyat mesti diberikan perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan secukupnya,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#DSAI #Malaysia #HariKebangsaan #airtimes #semasa

Related Articles

Leave a Reply