KLUANG, 30 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melantik syarikat swasta bagi menjalankan operasi salvaj Kapal Diraja (KD) PENDEKAR yang tenggelam di perairan Tanjung Penyusup, di Kota Tinggi pada Ahad lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini pihak TLDM telah melakukan kerja awalan termasuk mengenal pasti serta memastikan peralatan di kapal terbabit masih dalam keadaan yang baik.
Beliau berkata, selain memastikan kapal berkeadaan baik, kerja awalan itu juga bagi memastikan kapal berkenaan tidak hilang, namun untuk kerja mengapungkan dan salvaj, TLDM akan melantik pihak swasta.
“Bedah siasat (kapal) masih belum selesai dan dijangka diperoleh dalam masa sebulan serta punca kematian (penyelam ranjau) kita tidak tahu apa-apa lagi kerana belum menerima laporan penuh,
“Kita menjangkakan laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program e-Perkasa SPM Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kem Mahkota Kluang, pada Jumaat.
Pada 25 Ogos lalu, TLDM mengesahkan KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.
Ia mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam sepenuhnya pada jam 3.45 petang hari yang sama.
Sementara itu, dalam kejadian terbaharu, seorang anggota penyelam TLDM disahkan meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj bangkai KD Pendekar yang karam.-airtimes.my
#swasta #KDPendekar #operasisalvaj #Khaled #TLDM #airtimes