KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menegaskan Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tomahan dan fitnah yang berkaitan dengan isu-isu politik.
Baginda bertitah, ia kerana Institusi Raja adalah ‘above politics’ oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintahan dan Istitusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan pihak tertentu agar tidak meracun fikiran rakyat dengan unsur negatif terutama isu 3R (kaum, agama, raja) dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, Baginda turut menasihati pemimpin dan ahli politik negara ini untuk mengelak politik kebencian yang masih diamalkan pihak tertentu.
“Beta tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat,
“Segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara,
“Sebaliknya, jadikanlah perbezaan tersebut sebagai satu resipi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” titah Baginda.
Pada masa sama, Sultan Selangor bertitah agar usaha hendaklah dibuat secara berhemah bagi mengadakan program yang boleh merapatkan jurang pemisah demi mengikis prasangka buruk dalam jiwa rakyat.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama bersatu hati menjadikan negara kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaya saing, maju dan makmur,
“Jauhilah dari segala amalan hasad dengki, fitnah memfitnah serta mengadu domba dan menghasut yang boleh memecah belahkan perpaduan rakyat,” titah baginda. -airtimes.my
#HariKebangsaan #3R #DaulatTuanku #airtimes #malaysia