MERSING, 19 OGOS – Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertitah memberikan peringatan kepada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) bahawa peralatan serta persenjataan terkini adalah amat mustahak.
Baginda bertitah, ATM dan Tentera Darat perlu sentiasa menggunakan serta memiliki senjata yang berteknologi tinggi di samping membuat kajian berkenaan teknologi dan senjata baharu di dunia.
“Jangan lupa apabila sesuatu berlaku diluar jangkaan, kita sepatutya sentiasa bersiap sedia kerana Gerak Khas adalah ‘tip of the spear’ (tombak kehadapan) yang akan operate behind enemy line (beroperasi di belakang garisan musuh,
“Perlu kita sama-sama ingat bahawa apabila satu ancaman oleh musuh dengan teknologi tinggi atau teknologi baru, maka secara langsung ia menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara,” titah baginda.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah di Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-59. Foto: Danish
Baginda bertitah demikian ketika berkenan untuk berangkat ke Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-59 di Padang Kawad Markas 21, Gerup Gerak Khas (GGK), Kem Iskandar, di sini, hari ini.
“Seterusnya, kejayaan sesuatu misi amat bergantung kepada aset dan peralatan terkini serta berteknologi tinggi,
“Perkara ini perlu menjadi tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia demi memastikan keselamatan dan kedaulatan terus terjamin bila-bila masa,” titah baginda.
Baginda yang juga wakil Kolonel Komandan GGK turut menyeru semua lapisan Gerak Khas agar memainkan peranan yang penting dalam menjaga disiplin setiap anggota dibawah pimpinan masing-masing.
“Sikap taat setia dan tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Kolonel Komandan Gerak Khas dan pasukan perlu kukuh dan kekal selama-lamanya,” tegas baginda.
Selain itu, Tunku Ismail turut merakamkan penghargaan kepada semua bekas warga gerak khas yang telah berkhidmat dan berjasa sepanjang tempoh perkhidmatan. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #GerakKhas #GGK
