KUALA LUMPUR, 3 OGOS – Tidak bertabayyun (menyemak kebenaran) di dalam sesuatu berita itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk di kalangan masyarakat serta keadaan yang kurang tenang.
Perkara tersebut telah ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Naim Mokhtar.
Menurut beliau, pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah membuat kenyataan berhubung Penerimaan dan Penyampaian Berita melalui Bayan Linnas.
“Bayan Linnas Siri ke-184 berkaitan Tabayyun dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita antara lain menegaskan bahawa berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi,
“Ini bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian,” kata Naim dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Beliau turut menegaskan pemeriksaan dan penelitian sesuatu berita telah ditegaskan dalam kitab suci Al-Qur’an.
“Oleh itu, penelitian di dalam menerima sesuatu berita itu mestilah diambil berat bagi memastikan kebenarannya,
“Ini supaya dapat mengelak daripada berlakunya penyebaran berita palsu dan perbuatan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tergolong dalam golongan pendusta,” kata Menteri Agama.
Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang bertanyakan mengenai tindakan Kerajaan menjelaskan sikap agama Islam dalam isu-isu yang menggunakan sentimen agama seperti penswastaan MAHB yang cuba dikaitkan dengan menyokong Israel.
Menyentuh perkara tersebut, Naim menyatakan Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menjelaskan sikap agama Islam dalam isu-isu yang menggunakan sentimen agama.
“Ini demi memastikan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat terpelihara dan tidak bercanggah dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Menteri Agama menyatakan antara langkah yang diambil adalah penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan/Pejabat Mufti Negeri-Negeri akan mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa yang menjelaskan pandangan Islam mengenai isu-isu tertentu.
“Ini termasuk memberikan penjelasan tentang hukum-hakam yang relevan serta nasihat kepada umat Islam secara berhemah,” ujar beliau.
Beliau menambah, JAKIM turut bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara
menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) untuk meningkatkan persefahaman antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
“JAKIM juga melaksanakan penjelasan melalui kempen kesedaran melalui media sosial, televisyen dan radio bagi menjelaskan sikap agama Islam dalam isu-isu yang menggunakan sentimen agama seperti pendidikan melalui maklumat infografik,
“Portal Rasmi JAKIM dengan menyediakan pelbagai sumber rujukan mengenai isu-isu agama, fatwa dan garis panduan. Portal ini membantu umat Islam mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih
mengenai ajaran Islam,
“Dengan pelaksanaan tindakan-tindakan ini, Kerajaan berusaha memastikan bahawa ajaran Islam dapat difahami dan diamalkan oleh umat Islam di Malaysia,
“Ini sekaligus mengelakkan salah faham serta konflik yang berpunca daripada penggunaan sentimen agama untuk sebarang kepentingan peribadi,” tegasnya.
Bayan Linnas
Menteri Agama sebelum ini, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan Bayan Linnas merupakan siri kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan melibatkan isu-isu semasa peringkat nasional.
“Ia menjadi rujukan pelbagai pihak dalam dan luar negara,” kata Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan di akaun media sosial rasmi beliau.
Penelitian Air Times di dalam Bayan Linnas siri ke-184 yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menekankan perkembangan teknologi maklumat dan media sosial pada masa kini membawa pelbagai cabaran.
“Bahkan manusia kini lebih banyak berinteraksi kepada alam maya yang terkumpul didalamnya limpahan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah, Media massa (WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube) dan sebagainya,
“Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan. Isunya, adakah maklumat yang mudah untuk diperoleh ini, mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya?
“Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah sebaliknya maka pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, tabayyun merupakan perkataan Arab yang bermaksud menyemak asas kebenarannya.
“Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian,
“Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka,” jelas Bayan Linnas ke-184.
Bayan Linnas tersebut turut memberikan penerangan mengenai adab menyampaikan dan menerima berita. Bayan Linnas tersebut boleh diakses di pautan ini. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa