Tanggal 31 Julai bagi setiap tahun acapkali merupakan tarikh sambutan Hari Pahlawan buat pasukan keselamatan termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tarikh keramat tersebut adalah serentak tarikh bersejarah di mana Darurat Pertama telah tamat. Ini dapat dilihat menerusi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-2, Tuanku Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaidin pada 50 tahun yang lalu.
Baginda telah berkenan mengisytiharkan penamatan Darurat menentang Komunis selepas tiga tahun, lima bulan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Ia disambut sebagai tanda kemenangan berakhirnya zaman keperitan selama 12 tahun selepas berlakunya beberapa peristiwa tragis di tanah air.
Hasrat untuk menamatkan darurat dengan memansuhkan segala undang-undang yang telah dijalankan semenjak Jun 1948 telah disuarakan oleh Baginda di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dalam pembukaan Persidangan Kedua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 19 April 1960.
“Dengan kejayaan-kejayaannya dalam usaha menghapuskan dzarurat itu maka dapat-lah Kerajaan Beta menjalankan dasar-dasar kemajuan. Oleh sebab usaha berhasil maka Kerajaan Beta bercadang akan mengishtiharkan Dzarurat ini tamat pada 31 haribulan Julai dan pada masa itu memansohkan Undang-undang Dzarurat,” Titah baginda.
Menjadi rutin kebanggaan dalam sambutan dengan memperingati dan menghargai segala jasa pengorbanan perajurit negara yang telah terkorban dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan tanah air.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor telah mencadangkan tarikh khusus untuk adakan Sambutan Hari Veteran seperti mana dilakukan oleh Amerika Syarikat.
Persoalan tersebut telah diutarakan oleh beliau dalam soalan lisan di Parlimen kepada Kementerian Pertahanan sama ada terdapat perancangan untuk mengadakan sambutan Hari Veteran sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.
“Di sini saya mencadangkan 2 Disember setiap tahun sempena tarikh Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaysia pada 2 Disember 1989,” kata Ahli Parlimen Ketereh yang juga merupakan seorang veteran tentera.
Persoalan oleh beliau telah disahut oleh Kementerian Pertahanan yang menegaskan bahawa tiada perancangan untuk menyambut Hari Veteran.
“Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan buat masa ini masih belum ada perancangan untuk mengadakan sambutan ‘Hari Veteran’, memandangkan telah ada Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai,” jelas Menteri Pertahanan dalam penyataan jawapan lisan yang bertarikh 27 Jun 2024.
Penyataan jawapan lisan itu turut menyatakan istiadat Perbarisan Hari Pahlawan akan melibatkan kontinjen veteran ATM dan akan diteruskan oleh Kementerian.
Selain itu, Kempen Tabung Pahlawan (KTP) dan penganjuran aktiviti-aktiviti bawah KTP demi mendapatkan dana tambahan bagi program kebajikan komuniti veteran telah diadakan.
Melihat kepada persoalan oleh Khlir Mohd Nor, tarikh 2 Disember merupakan tarikh Perjanjian Damai di antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaysia.
Perjanjian Damai itu telah dimeterai pada 2 Disember 1989 dan disebut sebagai Perjanjian Haadyai
Melalui perjanjian ini, segala aktiviti penentangan yang dilakukan oleh PKM semenjak Darurat dan Darurat ke-2 (Insurgensi) telah tamat.
Menariknya, sambutan Hari Pahlawan Pertama telah diadakan pada 4 Ogos 1968. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Veteran #Pahlawan
