Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Galak belia ada kemahiran teknikal sertai Tentera Darat – Panglima

Galak belia ada kemahiran teknikal sertai Tentera Darat – Panglima

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 11 Mei – Golongan belia dari pelbagai kaum dan yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan teknikal digalakkan untuk menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, calon perajurit muda tersebut diperlukan seiring dengan peredaran masa serta bagi memperkukuhkan keupayaan TDM.

“TDM memerlukan kalau boleh calon-calon perajurit muda yang mempunyai kemahiran teknikal atau teknologi kerana sekarang kita berdepan dengan era teknologi ataupun sistem yang baharu termasuklah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),

“Kalau boleh kita perlukan calon-calon perajurit muda yang mempunyai kemahiran pengetahuan teknikal yang berkaitan dengan peralatan yang kita perlukan nanti,

“Namun ada juga kerisauan dalam siri pemilihan, terdapat calon terpaksa ditolak kerana didapati mereka gagal memenuhi syarat asas iaitu dari segi akademik dan saringan kesihatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) satu kerjaya yang berpotensi tinggi untuk berkhidmat sehingga 21 tahun serta meningkatkan kerjaya sama ada sebagai pegawai atau anggota – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan – Foto: AirTimes/Pasri

Menurutnya, TDM masih menggalakkan lebih ramai anak muda yang berkebolehan termasuklah yang mempunyai diploma dalam sesuatu pengkhususan.

Jelasnya, calon perajurit muda yang mempunyai diploma akan memberikan kelebihan kepada mereka.

“Pada siri kali ini, seramai 78 orang iaitu bersamaan 5 peratus mempunyai diploma. Ia sangat memberangsangkan,

“Kerana di masa hadapan, kita sudah usulkan perajurit muda yang mempunyai diploma ini dibayar gaji setimpal dengan dengan kelayakan diploma yang diiktiraf oleh perkhidmatan,

“Jadi beri kelebihan pada mereka yang mempunyai diploma ini, dimana mereka akan diberi gaji mengikut kelayakan diploma mereka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, 1,498 Perajurit Muda Lelaki berjaya menamatkan latihan meliputi pengetahuan serta pelbagai kemahiran ketenteraan selama 6 bulan bermula 3 November 2023 hingga 11 Mei 2024.

Pada siri ini, Perajurit Muda Ranfinddy Mail berasal dari Sipitang, Sabah telah dipilih sebagai penerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik.

Selain itu, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan anugerah kepada 4 lagi penuntut diatas kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri.-airtimes.my

#TDM #airtimes #PUSASDA #perajuritmuda

Related Articles

Leave a Reply