Home Pertahanan dan Keselamatan Hornet Kuwait: TUDM akan hantar tim teknikal sebelum buat sebarang keputusan

Hornet Kuwait: TUDM akan hantar tim teknikal sebelum buat sebarang keputusan

by Zaki Salleh

IPOH, 11 MEI – Teka-teki tentang cadangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait nampak cerah apabila akan ada usaha dibuat ke arah itu.

Ini berikutan rancangan TUDM untuk menghantar sepasukan pegawai ke negara Teluk tersebut dalam masa terdekat tentang perkara berkenaan.

Sekiranya perkara ini berhasil, ada harapan untuk melihat pertambahan kuantiti pada aset-aset TUDM sepertimana diharapkan.

Bagaimana pun, masa atau tarikh sebenar untuk menghantar pasukan itu akan diputuskan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan memberitahu, cadangan untuk mendapatkan pesawat Hornet dari Kuwait telah dibincangkan.

Katanya, kerajaan telah berbincang dan TUDM dalam proses untuk mengadakan lawatan ke Kuwait dan menunggu waktu yang sesuai.

“Dalam masa terdekat kita akan menghantar pasukan, berkemungkinan dalam bulan Jun kita akan tubuhkan satu tim untuk laksanakan lawatan teknikal ke sana.

“Selepas lawatan itu nanti, kerajaan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 67/2023 di Akademi Tentera Udara, Ipoh.

Seramai 443 termasuk 60 perajurit muda wanita berjaya menamatkan latihan untuk menjadi generasi baharu TUDM.

Mengulas lanjut kata Mohd. Asghar Khan, tentera udara Kuwait mempunyai 39 buah pesawat Hornet iaitu varian dua dan satu tempat duduk.

Justeru, menerusi lawatan teknikal itu TUDM dan Kementerian Pertahanan akan mengenal pasti serta tentukan jumlah yang diperlukan.

“TUDM pada masa ini mempunyai lapan buah pesawat F/A-18D Hornet yang dibuat perolehanan pada 1995 dan mula beroperasi pada 1997.

“Sebelum sebarang keputusan dibuat, TUDM perlu menentukan bahawa pesawat yang ada dalam inventori dapat melaksanakan tugas seperti mana yang diperlukan.

“Oeh itu, kita berharap merancang menggunakan pesawat F/A-18D Hornet sehingga tahun 2035-2040.

“Sekiranya lawatan ini memberi hasil yang positif sehingga 2035 mungkin TUDM akan buat keputusan untuk membeli,” ujar Panglima Tentera Udara.

Kuwait bakal menamatkan khidmat pesawat-pesawat F/A-18C satu tempat duduk dan F/A-18D yang dibeli bagi menggandakan kekuatannya selepas Perang Teluk 1991.

Ini berikutan pembelian 28 buah pesawat Eurofighter Typhoon dan 28 F/A-18E/F Super Hornet yang akan diterima secara berperingkat-peringkat.

Cadangan untuk TUDM mendapatkan pesawat terpakai Hornet Kuwait ini telah dibincangkam sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak menemui sebarang noktah.

Pada Mac tahun lalu, Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D Kuwait.

Bagaimana pun, hasrat itu terbantut akibat tiada komitmen daripada negara berkenaan.

Pada masa sama Kuwait dikatakan ingin melanjutkan tempoh operasi Hornet berikutan ada kelewatan pada penghantaran pesawat tempur baharu yang sepatutnya diterima.

Selain Malaysia, pesawat Hornet Kuwait turut diintai pihak lain antaranya Tunisia. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kuwait #Hornet

Related Articles

Leave a Reply