KUALA LUMPUR, 12 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengusulkan pembatalan sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) selepas kontraktor yang dilantik masih gagal memenuhi obligasi yang ditetapkan sebelum ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kontrak berkenaan sudah pun dimeterai sejak tahun 2022 dan mengikut perancangan awal, helikopter Black Hawk sepatutnya tiba bulan November tahun lalu.
Beliau menjelaskan, TDM amat memerlukan keupayaan aset itu bagi melancarkan tugas operasi serta latihan anggota namun pihak kontraktor masih gagal memenuhi janji yang telah dimeterai.
“TDM amat memerlukan keupayaan Black Hawk dan kontrak perolehan atau sewaan aset ini akan banyak membantu kita dalam tugas operasi dan latihan namun sehingga kini mereka masih gagal (penghantaran aset).
“Sekiranya pada Mei ini mereka masih gagal memenuhi obligasi ini maka TDM mengambil tindakan tegas iaitu mengusulkan kepada kementerian supaya kontrak sewaan Black Hawk ini dibatalkan, jadi kita boleh ambil langkah seterusnya ia keperluan mendesak dan kami tegas dengan keputusan kami,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), pada Sabtu.
Sebelum ini, Muhammad Hafizuddeain dilapor berkata, TDM akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk yang sepatutnya pada hujung bulan lepas.
Sehubungan itu, beliau amat berharap kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada 4 helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) itu. -airtimes.my
#blackhawk #TDM #perolehan #pertahanan