Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tiada yang mustahil: Leftenan Muda Chan Min Youn dari Askar Wataniah ke Gerak Khas

Tiada yang mustahil: Leftenan Muda Chan Min Youn dari Askar Wataniah ke Gerak Khas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Apr – “Tiada perkara yang mustahil, hanya perlu minat dan usaha untuk capai sesuatu. Tidak terlintas untuk jadi lain daripada yang lain, hanya mahu berkhidmat untuk negara,” luah Leftenan Muda Chan Min Youn, 25.

Graduan perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu merupakan satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, semalam.

Kejayaan beliau menamatkan latihan selama 12 minggu ini telah melayakkannya untuk dianugerahkan Beret Hijau.

Selain dianugerahkan Beret Hijau, beliau juga turut dianugerahkan pisau komando sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, pada awalnya beliau berminat untuk menyertai Latihan Asas Perajurit Muda, di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) tetapi hasrat itu ditolak oleh kedua ibu bapanya.

Leftenan Muda Chan Min Youn, 25 bersama ibu, ayah dan kakaknya hadir pada Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, semalam. Foto: AirTimes/Ashraf

“Walaupun sedih, tetapi saya akur dengan kehendak ibu bapa untuk saya meneruskan pelajaran di universiti. Menjadi seorang tentera adalah matlamat saya yang saya pegang,

“Lepas masuk universiti, saya menyertai Askar Wataniah (AW). Di situlah bermulanya pengalaman dan ‘berpijak’ dalam dunia ketenteraan,

“Disana saya (AW) saya dapat belajar banyak ilmu ketenteraan dan mengetahu kor-kor dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) serta salah satu yang saya minat adalah unit Komando,” ujarnya kepada Air Times.

Cabar diri untuk sertai Komando

Menurut Chan, komando adalah satu perkara yang susah dan mustahil untuk digapai seseorang. Namun berbekalkan prinsip hidup yang tidak suka kepada sesuatu yang normal, beliau sahut cabaran untuk sertai komando.

Selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Chan berkata, beliau terus memohon untuk memasuki Akademik Tentera Darat (ATD).

Beliau menjalani latihan ketenteraan selama 9 bulan dan ditauliahkan pada tahun 2023 dengan pangkat Leftenan Muda.

“Bukan senang dapat peluang hendak masuk komando, jadi apabila anggota Jabatan Arah Gerak Khas datang ke ATD, saya ambil peluang yang tersedia untuk menyertainya,

“Dari lebih 200 kadet yang ada, hanya 40 orang yang berminat untuk masuk komando. Tetapi, Gerak Khas hanya hendak memilih 10 orang sahaja, mereka membuat tapisan dan saya bersyukur kerana terpilih dan layak untuk menyertainya,

“Saya turut disokong oleh mantan Pegawai Memerintah Kompeni Abdul Rahman, Mejar Haikal untuk saya menyertai komando. Dari situ juga semangat saya menyertai komando berkobar-kobar untuk menjalani kursus ini,” jelasnya lagi.

Matlamat saya untuk menyertai komando sudah tercapai. Saya rasa bersyukur dapat peluang tersebut dan berjaya mengakhiri kursus ini – Leftenan Muda Chan Min Youn. Foto” AIrTimes/Ashraf

Tambahnya, kursus ini merupakan satu titik permulaan untuk beliau meneruskan kerjaya dalam Tentera Darat dan berharap lebih ramai lagi anak muda untuk menyertai Angkatan Tentara Malaysia (ATM).

“Saya rasa jauh lagi perjalanan saya, kursus ini adalah titik permulaan saya bermula perkhidmatan saya dalam komando ini,

“Saya harap dapat terus berkhidmat sebagai seorang komando dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan terus berdisiplin,

“Kepada belia-belia diluar sana, kalau hendak masuk tentera, kena ada minat sendiri. Untuk sertai komando lagi kami dialu-alukan,

“Saya boleh habiskan (kursus) ini, anda diluar juga boleh lakukan latihan yang sama. Tiada benda yang mustahil dan tiada benda yang tidak boleh dicapai, hanya perlu minat dan usaha serta korbankan sesuatu,” ujarnya lagi.

Chan merupakan salah seorang dari 9 orang pegawai dan 60 anggota yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 pada Ahad.

Seramai 9 pegawai dan 60 anggota berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 dan sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK). Foto: AirTimes/Ashraf

Upacara penganugerahan beret hijau dan pisau komando telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.

Dalam penganugerahan itu, Adi Ridzwan turut mengingatkan kepada semua penuntut agar sentiasa menjaga keagungan beret hijau yang dianugerahkan kepada mereka.

Hal ini kerana, aksesori kepala tersebut merupakan imej Special Forces Operators yang profesional dan terlatih. Beret Hijau juga merupakan lambang maruah dan kebanggaan bagi Gerak Khas.

“Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya.

“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” ujar Panglima 21 GGK. -airtimes.my

#airtimes #GGK #gerakkhas #komando #airtimes #TDM

Related Articles

Leave a Reply