Home Pertahanan dan Keselamatan ATM aktifkan Tabung Tragedi Lumut 24, bantu waris mangsa

ATM aktifkan Tabung Tragedi Lumut 24, bantu waris mangsa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaktifkan Tabung Tragedi Lumut 24 bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan kewangan kepada ahli keluarga dan waris mangsa tragedi 2 helikopter terhempas di Lumut, Perak baru-baru ini.

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, sumbangan kepada ahli keluarga dan waris 10 anggota serta pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi itu boleh disalurkan kepada akaun Affin Bank di bawah nama Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dengan nombor akaun 100040001752.

“Tabung Tragedi Lumut 24 akan diaktifkan hari ini sehingga berakhir bulan Jun 2024,

“Ia bertujuan bagi memudahkan warga ATM dan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban dipikul selepas kehilangan ahli keluarga tercinta,

“Sumbangan boleh dihulurkan terus secara dalam talian dengan menyatakan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ sebagai rujukan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tabung Tragedi Lumut 24 dilancarkan ATM untuk memudahkan orang ramai dan warga ATM menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Lumut, Perak pada 23 April lalu. -Foto: ATM

Menurut ATM, sumbangan juga boleh dibuat menerusi cek atas nama Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dan diserahkan kepada Sel Kebajikan, Cawangan Staf Am, Markas ATM Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jalan Padang Tembak di ibu negara.

“Segala sumbangan orang ramai kepada keluarga perwira tragedi Lumut didahului dengan ucapan terima kasih dan semoga semuanya mendapat kebaikan serta rahmat-Nya,” kata kenyataan itu.

Pada 23 April lalu, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Insiden itu, yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan kesemua 10 anggota dalam 2 pesawat terbabit.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #nahashelikopter #TLDM #lumut

Related Articles

Leave a Reply