Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Helikopter TLDM terhempas: Bedah siasat 10 mangsa selesai tengah hari esok

Helikopter TLDM terhempas: Bedah siasat 10 mangsa selesai tengah hari esok

by Nurulhuda

IPOH, 23 Apr – Proses bedah siasat ke atas 10 jenazah pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas membabitkan 2 helikopter di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa dijangka selesai disempurnakan lewat tengah hari esok.

Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Datuk Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya telah menerima kesemua jenazah bagi prosedur bedah siasat sekitar jam 6 petang tadi di perkarangan Jabatan Forensik HRPB.

“Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengahari esok (Rabu),

“HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB selain menghormati privasi waris mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan jenazah 10 mangsa tragedi 2 helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6 petang.

Jenazah kesemua mangsa dibawa dengan van jenazah TLDM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk 2 ambulans tiba pukul 6 petang untuk tujuan bedah siasat setelah menjalani proses pengecaman waris di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut, sejak tengah hari tadi.

Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada jam 9.32 pagi tadi ketika Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk 3 wanita.

Sementara itu, semua waris mangsa yang tiba di HRPB sejak jam 4 petang tadi. -airtimes.my

#pertahanan #TLDM #pesawat #airtimes #mangsa

Related Articles

Leave a Reply