WASHINGTON, 10 APR – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyatakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ‘tersilap langkah’ dalam menangani peperangan di Gaza.
Biden turut menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pemimpin Israel itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Amerika Syarikat dalam satu wawancara televisyen Amerika Syarikat, Univision.
“Saya merasakan apa yang dia (Netanyahu) lakukan adalah satu kesilapan. Saya tidak bersetuju dengan caranya,” kata Biden.
Presiden Amerika Syarikat itu sebelum ini mengkritik pengeboman di Gaza yang dianggap sebagai ‘permulaan kepada konflik baharu’.
Pada masa yang sama, Biden menegaskan bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata adalah perkara yang mustahak pada ketika ini.
“Apa yang saya minta kepada pihak Israel adalah untuk melakukan gencatan senjata, beri ruang 6 atau 8 minggu kepada penghantaran bantuan makan dan perubatan,” katanya.
Perang di Gaza yang memuncak semenjak 7 Oktober 2023 lalu mengundang pelbagai reaksi dan persepsi di peringkat antarabangsa.
Joe Biden berhadapan dengan cabaran politik di dalam negaranya berikutan pendirian Amerika Syarikat dalam peperangan tersebut.
Selain itu, pelbagai siri bantahan dan demonstrasi telah dilancarkan di negara kuasa besar itu yang mendesak campur tangan Washington untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza.
Kritikan memuncak selepas 7 petugas kemanusiaan dari World Central Kitchen (WCK) terkorban akibat bedilan tentera Israel. Insiden itu turut meragut nyawa seorang petugas dwikerakyatan Amerika Syarikat-Kanada. – airtimes.my
#AirTimes #Global