Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pisau Tentera Darat: Pengiktirafan keberanian, kecemerlangan luar biasa pegawai dan anggota TD

Pisau Tentera Darat: Pengiktirafan keberanian, kecemerlangan luar biasa pegawai dan anggota TD

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=zGpsQ4P-IjY[/embedyt]

 

Anugerah Pisau Tentera Darat merupakan pengiktirafan kepada pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mempamerkan tindakan atau aktiviti berbentuk keberanian serta kecemerlangan semasa latihan mahupun operasi.

Ketua Pengarah Dasar dan Pembangunan Sumber Manusia TDM, Mejar Jeneral Nahar Azmi Mahmud Ahmad berkata, penganugerahan ini adalah khusus untuk memberikan motivasi dan penghormatan kepada pegawai serta anggota yang melakukan sesuatu di luar jangkaan.

“Anugerah Pisau TD ini diwujudkan pada tahun 2014 yang diilhamkan oleh Panglima Tentera Darat yang ke-25, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi,

“Pada waktu itu, anugerah ini adalah untuk mengiktiraf pegawai dan anggota TDM yang melaksanakan tugas dengan cemerlang, yang telah melaksanakan tugas dengan penuh keberanian dan mendapat pengikhtirafan,

“Khususnya untuk memberikan motivasi dan penghormatan kepada pegawai dan anggota ini kerana apa yang dilakukan kebiasaanya adalah sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya kepada Air Times ketika ditemui baru-baru ini.

Penganugerahan berdasarkan 3 kategori

Nahar berkata, pemilihan bagi penerima anugerah ini berdasarkan 3 kategori iaitu yang pertama, tindakan keberanian yang luar biasa, yang mungkin berlaku semasa operasi atau semasa latihan.

Ketua Pengarah Dasar dan Pembangunan Sumber Manusia TDM, Mejar Jeneral Nahar Azmi Mahmud Ahmad berkata, Anugerah Pisau Tentera Darat ini telah diilhamkan oleh Panglima Tentera Darat yang ke-25, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi pada tahun 2014.

“Kedua, berdasarkan profesionalisme sebagai pegawai dan anggota tentera. Contohnya sebagai anggota tentera yang mempunyai semua kemahiran dan telah melaksanakan keberanian berdasarkan apa yang telah dipelajari sebagai seorang anggota tentera,

“Dan ketiga, satu perlakuan atau tindakan yang berjaya menaikan imej TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara umumnya,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pemilihan penerima anugerah tersebut dinilai dan diputuskan dalam satu jawatan kuasa yang dilantik.

“Apabila anggota atau pegawai tersebut di calonkan di peringkat pasukan atau unit, pihak Briged akan menapis, membuat pemilihan berdasarkan keberanian yang luar biasa,

“Kemudian, ia diputuskan dalam satu jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat dan akhirnya diperakukan oleh Panglima Tentera Darat,” ujarnya lagi.

Penerima anugerah dapat kelebihan ‘merit’ dalam perkhidmatan

Mengulas lanjut, Nahar memaklumkan, penerima anugerah Pisau TD ini tidak akan menerima sebarang alaun seperti kebanyakkan pingat yang lain.

Namun, beliau menjelaskan, penerima anugerah ini mendapat sedikit kelebihan di mana pegawai dan anggota tersebut akan diberikan ‘merit’ sebagai pengikhtirafan daripada TDM.

“Penerima anugerah ini mempunyai kelebihan dari segi pengikhtirafan. Ia bukan anugerah yang sebarang kerana tidak semua orang mendapat kelebihan itu,

“Jadi mungkin mereka berpeluang dinaikkan pangkat di masa hadapan, mempunyai ‘merit’ yang lebih tinggi berbanding yang lain. Atau mekerka diberikan peluang menjalani kursus yang bersesuaian di dalam atau di luar negeri,

“Selain itu, penerima anugerah ini mungkin akan menerima lain-lain keistimewaan yang mana akan ditentukan dari semasa ke semasa oleh pucuk pimpinan TDM,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, Anugerah Pisau TD ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa untuk memberikan motivasi serta suntikan kepada warganya.

Anggota Paramedik, Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), Sarjan Ronald Anak Manchik dianugerahkan dengan anugerah tertinggi TDM setelah mempamerkan tindakan pantas dan berani ketika menyelamatkan mangsa lemas di persisir pantai Terendak pada 13 Oktober 2023.

“Anugerah ini perlu dipertingkatkan untuk masa akan datang bagi memberi motivasi dan suntikan semangat kepada anggota dalam melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, lebih profesional,

“Secara tidak langsung ia juga menaikkan imej TDM dan ATM dan negara secara umumnya,” ujarnya lagi.

Sehingga ke hari ini, seramai 14 penerima telah mendapat penganugerahan yang sewajarnya berdasarkan situasi yang berbeza.

Kali terakhir anugerah tertinggi TDM dan Sijil Penghargaan Khas ini telah diberikan kepada Sarjan Ronald Anak Manchik setelah bertindak pantas dengan menyelamatkan mangsa lemas di persisir pantai Terendak pada 13 Oktober 2023.

Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizzudeain Jantan pada Perbarisan Hari Tentera Darat ke-91 di Segamat, 1 Mac lalu. -airtimes.my

Anugerah Pisau Tentera Darat adalah khusus untuk memberikan motivasi dan penghormatan kepada pegawai serta anggota yang melakukan sesuatu di luar jangkaan.

#pertahanan #PisauTD #TDM #HTD91 #keberanian #anggota #airtimes

Related Articles

Leave a Reply