SEGAMAT, 2 Mac – Aksi terjun bebas dari 21 Gerup Gerak Khas (GGK) dan pancaragam gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM) antara yang mendapat sorakan gemuruh dari ribuan penonton, malam tadi.
Persembahan tersebut merupakan pengisian pertunjukan TATU sempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-91 yang buat julung kalinya diadakan di Dataran Segamat, pada tahun ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut mendendangkan 2 buah lagu yang diiringi oleh pancaragam gabungan Tentera Darat serta mendapat tepukan gemuruh dari pengunjung.
Dengan bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’, penganjuran Hari Tentera Darat ini dilihat dapat memberikan pengalaman pertama buat rakyat Segamat untuk lebih mendekati warga Tentera Darat.
Kira-kira hampir 2,000 anggota TDM telah mengambil bahagian dalam pertunjukan itu termasuklah acara kemuncak iaitu aksi lagak ngeri oleh Tim Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior (ARM) yang dinanti-nantikan penonton.
Antara pertunjukan lain yang dipamerkan termasuklah kawad senyap, tarian perang, drum line, tempur tanpa senjata (TTS), persembahan aset Tentera Darat iaitu Anjing Perang.
Selain itu, TDM juga menyediakan 3 buah motosikal bagi pemenang Cabutan Bertuah yang dibuka secara percuma untuk pengunjung karnival Tentera Darat yang bermula dari Khamis lalu.
Dalam masa yang sama, turut diadakan penyerahan Buku Kor/Rejimen kepada Panglima Tentera Darat ke-30.
Tinjauan Air Times mendapati, orang ramai mula membanjiri perkarangan Dataran Segamat untuk menyaksikan persembahan TATU Tentera Darat kira-kira jam 4.30 petang.
Walaupun pertunjukan mini TATU itu dijadualkan berlangsung bermula pada jam 9 malam dan cuaca mula gerimis pada waktu Maghrib, tetapi orang ramai tidak sedikit pun berganjang meninggalkan perkarangan Dataran Segamat.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat menyifatkan sambutan orang ramai pada hari ini amat luar biasa kerana ia dihadiri oleh lebih 10,000 pengunjung.
Sambutan Hari Tentera Darat ke-91 turut mengetengahkan Pameran Kerjaya dan Aset Tentera Darat serta pemeriksaan kepada pengunjung yang bermula pada Khamis.- airtimes.my