Home Semasa Saya tidak akan layan permintaan yang menggugat kestabilan negara – Titah Agong

Saya tidak akan layan permintaan yang menggugat kestabilan negara – Titah Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar bertitah mengingatkan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang usaha mana-mana pihak untuk menggugat kestabilan kerajaan yang ada.

Semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

Seri Paduka Baginda juga bertitah menegaskan sekiranya ada pihak yang hendak bermain politik, mereka perlulah menunggu pada masa pilihan raya akan datang.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara,

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk,

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya akan datang,” titah baginda pada istiadat pembukaan penggal ketiga sidang Dewan Rakyat.

Sultan Ibrahim juga menggesa semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti masing-masing untuk bekerjasama ke arah membina negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Tegas baginda, sebarang kegagalan ataupun kejayaan bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja malah semua 222 Ahli Parlimen yang diamanahkan oleh rakyat perlu sama memikul tanggungjawab itu.

“Semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan. Semua pihak sedia maklum bahawa keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana,

“Oleh itu, saya berharap semua ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha membela nasib hidup mereka dan bukannya untuk kepentingan parti politik dan diri sendiri,” titah baginda lagi.-airtimes.my

#semasa #Parlimen #DewanRakyat #Malaysia #DaulatTuanku #airtimes

Related Articles

Leave a Reply