TAIPING, 23 Feb – Kerja-kerja penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Denaro Line dan RKAT Salerno Line di Markas Stesen Staf Taiping (MSS Taiping) telah siap sepenuhnya serta boleh diduduki semula.
RKAT Denaro Line dan RKAT Salerno Line ini telah dibina pada tahun 1952.
Markas Divisyen Ke 2 Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, proses selenggaraan 100 unit RKAT Denaro Line telah dilaksanakan oleh Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Div dengan kerjasama Markas Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (MATM-BPKP) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurut pihak 2 Div, projek selenggaraan RKAT Denaro Line telah bermula pada 7 Mac tahun lalu sehingga 31 Januari 2024 dengan membabitkan kos berjumlah RM8,412,000.00.
“Manakala senggaraan 6 unit RKAT Salerno Line dan 1 unit RKAT Drummond Hill yang dilaksanakan oleh JKR telah bermula pada 10 Julai 23 hingga 27 November 23 membabitkan kos berjumlah RM 495,000.00,” jelas 2 Div dalam kenyataan.
Majlis penyerahan telah disempurnakan Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Kompleks SKD, MSS Taiping, pada Khamis.
Panglima 2 Div telah menyerahkan replika kunci RKAT Kelas G Flat kepada wakil penghuni RKAT Denaro Line iaitu Bombardier Ayob Ismail dari pasukan Rejimen Ke-23 Artileri Diraja (23 RAD) mewakili 100 ketua isi rumah RKAT tersebut.
Selain itu, replika kunci RKAT Kelas G Teres pula telah diserahkan kepada Bombardier Mohd Fadhil Hanis Roslan dari pasukan Rejimen Ke-23 Artileri Diraja (23 RAD) mewakili 7 ketua isi rumah RKAT Salerno Line dan RKAT Drummond Hill.
“Penyelenggaraan RKAT tersebut diletakkan di bawah tanggungjawab Markas Stesen Staf Taiping dari aspek kebersihan, keselamatan serta perintah dan kawalan terhadap semua penghuni,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my
#pertahanan #TDM #airtimes #RKAT