Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Malaysia-Kanada patahkan serangan gas beracun pengganas

Tentera Malaysia-Kanada patahkan serangan gas beracun pengganas

by M.Daim

MELAKA, 23 FEB – Ketika rakyat Malaysia mula diulit mimpi pada tengah malam Jumaat, satu krisis telah berlaku di Stesen KTMB Pulau Sebang.

Sekumpulan pengganas telah berjaya menawan sebuah kereta api yang sedang dalam perjalanan dari selatan tanah air ke ibu negara. Matlamat mereka adalah untuk melancarkan serangan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Anggota pengganas telah bertindak menawan beberapa buah gerabak kereta api tersebut bagi memastikan misi mereka berjaya. Malah, mereka telah menahan beberapa orang tebusan sebagai perisai manusia sekiranya pasukan keselamatan berjaya mengesan perancangan mereka.

Gerombolan pengganas tersebut dilaporkan mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan senjata pemusnah kimia, biologi, radiologi dan nuklear (Chemical, Biological, Radiological and Nuclear, CBRN).

Sedia hadapi kemungkinan – perhatikan pemakaian kelengkapan khusus unutk pelaksanaan operasi dalam persekitaran CBRN. Foto: Air Times/Sharul

Senjata pemusnah sebegini membawa kesan kemusnahan yang besar, lebih-lebih lagi pada waktu sesak pada awal pagi di Kuala Lumpur.

Gerak-geri dan perancangan kumpulan pengganas terbabit, pada hakikatnya telah dihidu oleh pasukan keselamatan. Dengan kerjasama pihak KTMB, pergerakan kereta api tersebut telah berjaya dihentikan di Stesen KTMB Pulau Sebang dan kawasan sekitarnya telah dikepung.

Menyedari rancangan mereka telah dikesan, kumpulan pengganas terbabit telah bertindak agresif dan mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan kepada pihak kerajaan – biarkan mereka keluar dari Stesen KTMB Pulau Sebang tanpa sebarang sekatan atau nyawa tebusan menjadi taruhan.

Mereka mahu melepaskan gas saraf di Stesen KTMB Pulau Sebang. Gas saraf merupakan salah satu agen senjata kimia yang meruap dan membahayakan nyawa.

Melihat kepada situasi yang genting, kerajaan telah menubuhkan pasukan perunding bagi membebaskan tawanan dari cengkaman pengganas. Pada masa yang sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diberikan lampu hijau untuk melancarkan operasi khas untuk menghapuskan ancaman pengganas.

Operasi ini menyaksikan kehadiran pasukan khusus Tentera Darat Malaysia, Grup Gerak Khas (GGK) yang telah diaturgerak menuju ke lokasi krisis. Operasi ini turut melibatkan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (CBRNe) dan disertai oleh Canadian Special Operation Forces (CANSOF).

Objektif operasi khas ini adalah untuk menumpaskan pengganas, membebaskan tebusan dan menangani ancaman CBRN.

Elemen penggempur mengambil kedudukan sebelum lampu dipadamkan di kawasan krisis. Foto: Air Times/M Daim

Setiap detik waktu adalah begitu berharga di mana nyawa para tebusan berada di hujung tanduk.

12 Skn RAJD (CBRNe) telah bergegas untuk menyediakan beberapa peralatan khusus dan juga kawasan untuk melakukan nyahcemar. Beberapa orang anggota mereka akan menyertai serbuan terhadap gerabak kereta api yang ditawan pengganas.

Elemen penggempur dari GGK dan CANSOF pula dilengkapi dengan pemakaian khusus bagi melaksanakan operasi tempur dalam persekitaran ancaman CBRN. Mereka turut dibekalkan dengan Sistem Penglihatan Malam (NVG) kerana serbuan ini dijangka dilakukan dalam keadaan gelap.

Operasi khas ini telah dirancang dengan rapi bagi meminimumkan ancaman pengganas dan juga senjata gas yang dibawa oleh mereka.

Rundingan masih lagi berjalan dalam keadaan genting dan elemen penggempur telah mula mengambil kedudukan mereka untuk melancarkan serbuan. Tatkala kesemua elemen bersedia….

“LIGHTS OUT! LIGHTS OUT!”

Stesen KTMB Pulau Sebang yang sebelum itu disirami cahaya kemudiannya bergelap. Kawasan persekitaran stesen menjadi sunyi disebalik ketegangan yang memuncak.

“Go! Go! Go!”

Elemen penggempur GGK dan CANSOF telah campak flashbang bagi mengelirukan pengganas. Dentuman flashbang telah memecah keheningan malam dan kemudiannya diikuti bunyi tembakan.

Pasukan khusus GGK dan CANSOF telah menggempur ahli-ahli kumpulan pengganas yang masih berdegil untuk tidak meletak senjata.

DAM! DAM!

Tembakan dari anggota pasukan penggempur tepat mengenai pengganas dan tiada lagi sebarang bunyi bedilan berlaku.  Lampu stesen telah dinyalakan kembali untuk menerangi kawasan krisis.

Mangsa yang terkesan dengan agen gas sarin sedang dinyahcemar terlebih dahulu sebelum dihantar ke pos perubatan. Foto: Air Times/ M Daim

Seorang demi seorang tebusan dibawa keluar. Namun begitu, mereka tidak dilepaskan dengan segera kerana pengecaman perlu dilakukan. Ini bagi menggagalkan sebarang cubaan ahli pengganas untuk melepaskan diri dengan menyamar sebagai tebusan.

Walaupun tiada lagi ancaman senjata kinetik dari pengganas, ancaman baharu pula timbul– serangan gas saraf. Salah satu gerabak yang ditawan telah dicemari dengan agen saraf yang dibocorkan oleh  pengganas semasa serbuan berlaku.

Cahaya lampu mula menerangi kawasan platform stesen dan gerabak, anggota kumpulan penggempur mengesan terdapat 2 mangsa yang terjejas dengan agen gas saraf yang dibocorkan oleh pengganas.

Oleh kerana dilengkapi dengan topeng yang bersesuaian dengan persekitaran misi, agen gas terbabit tidak memberikan kesan kepada anggota penggempur. Pun begitu, mereka kelengkapan dan peralatan mereka telah pun terdedah kepada agen terbabit. Tambahan pula, nyawa 2 orang tebusan kini berada dalam keadaan genting.

Gas saraf ini adalah merbahaya kepada nyawa manusia kerana memberikan kesan kepada otot dan juga sistem saraf.  Mangsa mengalami kekejangan otot, sesak nafas dan kelumpuhan. Jika tidak dirawat dengan cepat, ia sudah pasti akan mengorbankan nyawa.

Stesen nyahcemar disediakan di kawasan berhampiran krisis. Stesen ini memainkan peranan penting bagi mengelakkan kesan daripada CBRN semasa pasca operasi. Foto: Air Times/M Daim

Elemen 12 Skn RAJD (CBRNe) yang bersama dalam kumpulan serbuan mula melaksanakan peranan mereka. Kedua-dua mangsa yang terjejas telah dibawa keluar dari gerabak. Mereka telah dinyahcemar bagi menggelakkan agen gas mencemari kawasan sekitar.

Kesemua mangsa yang dinyahcemar telah digegaskan ke pos perubatan yang ditubuhkan berhampiran kawasan krisis untuk mendapat rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka.

Operasi nyahcemar dan pembersihan dijalankan bagi memulihkan gerabak kereta api dan kawasan sekitar yang terjejas akibat agen gas.

Pada masa yang sama, Tim Sampling and Identification for Biological, Chemical, Radiological Agent (SIBCRA) telah mengambil sampel agen gas bagi mengenal pasti elemen yang digunakan oleh kumpulan pengganas.

Agen gas yang disampel telah dikenalpasti sebagai Sarin. Ia merupakan salah satu agen senjata kimia yang berbahaya. Walaupun tidak mempunyai sebarang bau mahupun rasa, pendedahan terhadap agen ini – sama ada melalui saluran pernafasan dan sentuhan kulit boleh membawa maut.

Gas ini pernah digunakan oleh kumpulan pengganas di Jepun dalam melancarkan serangan di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Tokyo. Serangan pada tahun 1995 ini telah meragut 14 nyawa dan menjejaskan 1,050 yang lain.

Sehingga hari ini, agen sarin masih lagi digunakan sebagai senjata kimia di beberapa sudut konflik dunia.

Walaupun operasi gempur gerabak kereta api telah selesai, malam yang panjang masih belum lagi berakhir untuk anggota GGK, CANSOF dan 12 Skn RAJD. Mereka, bersama tebusan yang terselamat perlu menjalani proses nyahcemar yang dilakukan dengan teliti.

Walaupun operasi gempur telah berakhir, prosedur nyahcemar dilakukan bagi bendung sebarang kemungkinan dan kesan semasa pelaksanaan misi. Foto: Air Times/M Daim

Setiap inci pakaian, peralatan dan persenjataan mereka perlu dibersihkan bagi menghapuskan agen saraf yang dikhuatiri mencemari kelengkapan mereka. Walaupun proses nyahcemar adalah memakan masa yang panjang, tetapi ia adalah penting untuk dilakukan kerana pencemaran yang kecil sudah pasti akan membawa padah di masa hadapan.

Itu adalah senario latihan medan (FTX) yang disaksikan oleh Air Times di Stesen KTMB Pulau Sebang, hari ini. Latihan ini adalah salah satu daripada pelaksanaan Eksesais MANTIS Siri 10/2024 yang diadakan secara tahunan di Malaysia. Latihan ini kali pertama diadakan pada tahun 2014.

Eksesais Mantis yang melibatkan kerjasama dengan 𝘊𝘢𝘯𝘢𝘥𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘱𝘦𝘤𝘪𝘢𝘭 𝘖𝘱𝘦𝘳𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘍𝘰𝘳𝘤𝘦𝘴 𝘊𝘰𝘮𝘮𝘢𝘯𝘥 (CANSOFCOM) ini telah mula dilaksanakan semenjak 15 Januari lalu.

Menurut Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) di akaun media sosial rasminya, eksesais ini memberikan fokus kepada prosedur persekitaran CBRN dalam operasi lawan keganasan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #TenteraDarat #MANTIS #GGK #CBRNE #CANSOF #Canada

Related Articles

Leave a Reply