Home Pertahanan dan Keselamatan 500 veteran ATM terima PJM, jasa dan pengorbanan lawan komunis diiktiraf

500 veteran ATM terima PJM, jasa dan pengorbanan lawan komunis diiktiraf

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Seramai 500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai pengiktirafan atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis satu ketika dahulu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, PJM dimartabatkan sebagai pingat yang lebih kanan dalam susunannya berbanding dengan anugerah-anugerah yang sama kelas dengannya seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS).

“Pengurniaan PJM ini adalah refleksi terhadap suatu pengorbanan yang amat besar, yang diiktiraf oleh rakyat dan negara dalam menggalas tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan negara dengan penuh taat setia,

“Masyarakat haruslah menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara sehingga negara ini dapat mengecapi keamanan yang dinikmati pada hari ini,” katanya semasa Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan JHEV ATM akan terus memperkasakan keprihatinan terhadap kebajikan serta kesejahteraan warga pertahanan termasuk Veteran ATM.

“Ia termasuklah dengan meningkatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 244 juta berbanding dengan tahun sebelumnya yang berjumlah RM 190 juta,

“Kerajaan akan terus komited menjaga hal ehwal kebajikan dan sosioekonomi veteran ATM dengan menyediakan bantuan melalui pelbagai skim seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Kemasukan Institusi Pengajian Tinggi, kemudahan perubatan dan lain-lain skim bantuan kebajikan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, sehingga hari ini, seramai seramai 41,331 warga veteran ATM telah menerima pingat ini.-airtimes.my

#airtimes #PJM #Malaysia #Mindef #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply