KUALA LUMPUR, 23 Feb – India ingin mengeratkan lagi kerjasama dua hala dengan Malaysia menerusi koloborasi dalam industri pertahanan, kata Pesuruhanjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy.
Menurut beliau masanya sudah tiba untuk kedua-dua negara mengukuhkan lagi hubungan pertahanan berusia empat dekad yang termasuk Kerjasama Pertahanan Malaysia-India yang ditandatangani pada 1993.
Sebelum ini, beliau berkata kerjasama dan libat urus dalam pertahanan antara dua negara bersahabat itu hanya berkisar dalam kalangan tiga cabang ketenteraan, tentera darat, udara dan laut tetapi sekarang New Delhi berhasrat mengadakan libat urus dengan pemain sektor industri pertahanan.
“Dalam lapan ke sembilan tahun lepas, sektor industri pertahanan India tumbuh dengan pesat. Sebelum ini industri pertahanan kami hanya mengeluarkan peralatan untuk Angkatan Tentera India tetapi sekarang kami telah membangunkan kapasiti dan keupayaan untuk mengeksport (produk pertahanan) ke negara lain,” katanya.
Reddy berkata demikian di luar program Kerjasama Perindustrian Pertahanan India-Malaysia: Ekspo Mini Pertahanan yang juga Simposium Industri Pertahanan di sini hari ini yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak.
Reddy berkata kerjasama itu akan memberi manfaat, kerana Angkatan Tentera Malaysia dan India menggunakan aset ketenteraan yang sama seperti pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) Sukhoi Su-30 buatan Rusia dan kapal selam diesel-elektrik Scorpene buatan Perancis.
Menurut beliau, syarikat India Mazagon Dock Shipbuilder Limited telah membina enam kapal selam Scorpene setakat ini sementara gergasi aeroangkasa Hindustan Aeronautics Limited (HAL) sudah membina 280 jet pejuang Sukhoi untuk Tentera Udara India (IAF) di bawah pengaturan dengan rakan niaga dari Rusia.
Sementara itu Isham dalam ucapannya berkata Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan India dalam bidang keselamatan siber dan sektor penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih terutamanya yang melibatkan kapal selam Scorpene dan pesawat MRCA Sukhoi Su-30.
“Ini adalah dua bidang yang kami faham bahawa India mempunyai kepakaran dan anda juga mengeluarkankan alat ganti untuk kapal selam Scorpene, ini adalah bidang yang saya fikir kita boleh bekerjasama dengan lebih lanjut kerana dalam lima bulan lepas saya di Kementerian Pertahanan, keutamaan nombor satu saya ialah aset atau peralatan kami sentiasa sedia untuk digerakkan,” katanya.- Bernama
#pertahanan #Malaysia #India #airtimes