Home Semasa Malaysia: Hentikan pencabulan undang-undang antarabangsa, hak rakyat Palestin

Malaysia: Hentikan pencabulan undang-undang antarabangsa, hak rakyat Palestin

by Nurulhuda

THE HAGUE, 23 Feb – Israel perlu menghentikan terlebih dahulu pencabulan berterusan ke atas hak rakyat Palestin dan keluar dari wilayah tersebut yang Diduduki (OPT) dengan serta-merta.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda pada Khamis (waktu tempatan) menegaskan, dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin telah melanggar undang-undang antarabangsa di samping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

Beliau dilaporkan berkata, Israel mesti menghentikan semua ‘dasar dan amalan’ berkaitan termasuk serta-merta berundur dari Wilayah Palestin.

Kedua, beliau berkata, Israel wajib berjanji dan memberikan jaminan untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

“Dan ketiga, Israel dipertanggungjawabkan untuk menawarkan pemulihan penuh supaya keadaan kembali kepada asal,

“Ini bermakna ia mesti benar-benar melaksana dan melakukan pindaan perundangan, termasuk menghapuskan atau menarik balik semua langkah perundangan yang bertentangan dan peraturan yang diluluskan sebelum ini bagi kawasan OPT,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, Mohamad juga menekankan Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin dalam sesi tersebut.

Tambah Mohamad, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mempunyai peranan khusus untuk memberi panduan dalam persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Palestin.

“Malaysia berpendirian bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah menyelahi undang-undang dan perlu dihentikan serta-merta,

“Malaysia menyeru agar semua negara tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin di samping menekankan kewajipan PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya berhubung isu Palestin,” jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Malaysia, lebih 50 negara membentangkan hujah mereka mengenai akibat perundangan berhubung pendudukan Israel di Palestin pada sesi pendengaran awam itu yang bermula Isnin.

Dalam masa yang sama, kementerian itu menegaskan, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.-airtimes.my

#global #airtimes #Malaysia #Israel #Palestin

Related Articles

Leave a Reply