Home Semasa Agong berkenan tubuh RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

Agong berkenan tubuh RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi perkenan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) memaklumkan, penubuhan itu berkuat kuasa serta merta dengan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai Pengerusi RCI tersebut.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) (Datuk Seri Azalina Othman Said) bersama dengan Ketua Pengarah BHEUU JPM (Zamri Misman) telah menghadap dan menyembah maklum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tentang cadangan kerajaan mengenai penubuhan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119],

“Kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi penubuhan RCI itu berkuat kuasa serta merta,” menurut BHEUU JPM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sultan Ibrahim turut memperkenan pelantikan 7 Pesuruhjaya RCI selain Md Raus.

Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali dilantik sebagai Timbalan Pengerusi dan ahli manakala 5 ahli lain ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Mantan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin.

Ahli Pesuruhjaya RCI termasuk Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Prof Datin Dr Faridah Jalil; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir serta Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah.

Manakala, Zamri Misman pula diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Setiausaha RCI manakala BHEUU JPM akan bertindak sebagai urus setia.

Sementara itu, Azalina menerusi catatan di Facebook menjunjung kasih Seri Paduka Baginda atas perkenan menerima menghadapnya di Istana Negara hari ini dan turut memperkenan pelantikan tujuh Pesuruhjaya RCI tersebut.

Pada 24 Januari lalu, Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilapor berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI terbabit selaras dengan Akta 119 yang mana cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, cadangan ahli itu akan mengambil kira komposisi pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak berkaitan.

Akta 119 pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat apa-apa perkara lain yang siasatannya pada pendapat Yang di-Pertuan Agong berfaedah bagi kebajikan awam.-airtimes.my

#semasa #JPM #DaulatTuanku #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply