Home Semasa Tol percuma 8 dan 9 Februari ini sempena Tahun Baru Cina

Tol percuma 8 dan 9 Februari ini sempena Tahun Baru Cina

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada semua kenderaan persendirian pada 8 dan 9 Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta memaklumkan, pengecualian tol itu meliputi semua kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berharap pengguna lebuh raya akan merancang perjalanan sebaiknya susulan pemberian tol percuma itu. -airtimes.my

#airtimes #tolpercuma #tahunBaharuCina #semasa

Related Articles

Leave a Reply