PUTRAJAYA, 7 Feb – Malaysia dan Indonesia senada mengulangi pendirian memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara yang bebas serta merdeka.
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi di Jakarta, pada Selasa.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, lawatan kerja pertama Mohamad ke Jakarta sejak beliau dilantik Disember lalu itu turut membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Antara yang disentuh dalam pertemuan itu adalah mempergiat semula aktiviti perdagangan sempadan di Tebedu dan Entikong bagi mencapai sasaran dagangan tahunan sebanyak AS$30 billion seperti mana yang telah dipersetujui,
“Turut menjadi fokus perbincangan ialah perkembangan isu serantau dan global terutamanya berkenaan situasi di Myanmar dan konflik di Palestin,” jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Di samping itu, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit, yang mana Malaysia dan Indonesia adalah antara pengeksport utama dunia.
Mohamad juga berbincang dengan rakan sejawatannya dari Indonesia untuk menyelesaikan krisis di Myanmar melalui ASEAN dan menekankan pentingnya perpaduan ASEAN dalam menangani isu berkenaan.
Wisma Putra turut memaklumkan, lawatan Mohamad itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan dengan kerajaan Indonesia dan meningkatkan kerjasama di peringkat ASEAN.
Tambahnya, lawatan rasmi ini juga merupakan testimoni kepada hubungan akrab dan komprehensif anatara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat. -airtimes.my
#malaysia #indonesia #palestin #semasa #airtimes