PASIR MAS, 29 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal sebanyak RM50 juta akan diberikan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
Perdana Menteri berkata, peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan disalurkan terus kepada mangsa banjir.
“Bagi mangsa yang di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan lain, kita luluskan dengan peruntukan awal melalui Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) RM50 juta itu, terus kepada penduduk atau keluarga terlibat,
“Insya-Allah kita akan lebih kurang.. kerana telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan tadi (bahawa) ada keluarga yang dah 3 kali hadapi masalah banjir dan kerosakan yang sangat berat dihadapi, itu insya-Allah kita akan bantu,” katanya seperti dilapor Bernama.
Terdahulu, Anwar hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, bagi melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementera (PPS) itu.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak meliputi jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.
“Kerjasama kedua-dua pihak ini menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat.
“Apa yang penting, kita mahu meredakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir,” ujarnya lagi.
Setakat jam 3 petang tadi, PPS SMK (A) Lati menempatkan 700 mangsa daripada 218 buah keluarga daripada kawasan Gual Mesa; Taman Alia Puteri; Berangan Ampan Kepas dan Taman Kelapa Wangi. -airtimes.my
#banjir #kelantan #DSAI #airtimes