KUALA LUMPUR, 28 NOV – Perasaan teruja untuk melihat majlis penyerahan kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dikatakan semalam terbantut apabila tiada apa-apa perkembangan mengenainya.
Sejak minggu lalu, media tertunggu-tunggu juga jika ada emel atau surat jemputan untuk menghadiri ke upacara penerimaan kapal yang bersejarah ini, malangnya tiada.
Jadi kesimpulannya, jangkaan bahawa OPV 1 APMM untuk diserahkan pada 27 November tidak menjadi kenyataan.
Sebelum ini tarikh penyerahan tersebut diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah APMM,
Laksamana (Maritim) Datuk Hamid Mohd Amin semasa di Kuching, Sarawak awal bulan ini.
Dengan penangguhan terbaru ini bermakna OPV 1 yang dikatakan bakal dinamakan sebagai KM Tun Fatimah akan diserahkan pada suatu tarikh lain.
Sehingga kini, tiada kenyataan atau maklumat rasmi daripada APMM atau syarikat pembinanya, TH Heavy Engineering tentang punca penangguhan itu.
Menjengah ke laman media sosial APMM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula, tiada apa-apa berita berkenaan kapal ini.
Pada 6 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac dan Oktober hadapan (untuk OPV kedua).
Beliau, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama.
Namun, Saifuddin memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.
Malangnya tarikh tersebut ditunda lagi atas alasan meriam utama kapal belum diterima dari Turkiye, lalu OPV dijadualkan diserah pada 24 Julai apabila lulus menjalani ujian di laut.
Oleh kerana gagal dapat diserahkan pada bulan Mac maka KM Tun Fatimah tidak dapat dibawa menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim di Langkawi pada Mei lalu.
APMM telah menetapkan OPV 1 untuk ditempatkan di Sarawak sebagai usaha mempertingkatkan kawalan penguatkuasaan perairan negara, khususnya di wilayah Borneo.
Sebaliknya, mengikut kontrak asal yang dimeterai pada tahun 2017, OPV 1 perlu disiapkan pada tahun 2020 bermakna penghantaran telah pun lewat tiga tahun
Sehingga kini juga tidak diketahui sejauh mana progress pembinaan OPV 2 dan OPV 3, ini juga menimbulkan keraguan.
Pada September lalu, OPV 1 menjalani ujian di laut bagi memastikan sistem dan keupayaan kapal berkenaan mengikut standard ditetapkan.
Fasa ujian ini dilakukan oleh syarikat pembinanya, TH Heavy Engineering bersama pegawai dan kru APMM.
Ini termasuklah ujian pada sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam Aselsan SMASH 30mm buatan Turkiye serta mesingan yang dipasang pada kiri dan kanan kapal. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #MaritimMalaysia #Keselamatan